KUALA LUMPUR: Tidak mendapat sebarang pencalonan dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-34 kali ini, penyanyi dan pelakon, Nabila Razali mengakui tidak berkecil hati selain menghargai usaha kelab peminatnya.
Menurut Nabila, dia sedar selama ini kelab peminatnya, NabaelaFC merupakan tunjang utama kepada kelangsungan kerjayanya termasuk tidak mengenal lelah dalam berkempen dan mengundinya untuk anugerah tersebut.
“Assalamualaikum semua. Di kesempatan ini Bella nak ucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat yang dah bersusah payah untuk berkempen dan undi Bella di ABP34.
“Bella hargai setiap jasa dan masa yang korang semua korbankan. Tiada rezeki kita untuk tahun ini.
“Tak apa, Bella tetap bersyukur dapat peminat yang mengagumkan macam korang semua. Mungkin selepas ini pula okay,”katanya.
Nabila berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Instagram Storynya semalam.
ABP34 dilihat tidak berpihak kepada Nabila apabila dia gagal membolos dalam empat kategori tercalon iaitu Penyanyi Wanita Popular, Pelakon TV Wanita Popular dan dua menerusi kategori online, Gandingan Serasi Drama Popular.
Calon 10 artis yang mendapat undian tertinggi adalah Amir Masdi, Ben Amir, Dolla, Haqiem Rusli, Khai Bahar, Meerqeen, Naqiu, Sissy Imann, Siti Nordiana dan Sweet Qismina.
Proses undian peringkat pertama pencarian Bintang Paling Popular ABPBH 34 untuk semua kategori yang dipertandingkan bermula pada 10 September 2021 dan berakhir 3 Oktober lalu.