BAKAL tampil memberikan sesuatu yang berbeza buat penonton-penonton yang sentiasa dahagakan naskah bermutu daripada pengkarya tempatan, 108 Media mengambil inisiatif tersebut untuk menghasilkan drama bersiri berjudul I Am Vash.
Menariknya, I Am Vash bakal membariskan beberapa bintang tersohor yang akan memulakan penggambaran pada Mei 2022 dan siap untuk tontonan pada tahun 2023.
Ia berkisarkan tentang bandar Pelabuhan Klang di Malaysia yang dipenuhi jenayah sekitar tahun 1970-an dengan watak utamanya, Vash, seorang pegawai polis wanita yang sentiasa menghadapi tekanan masyarakat dan politik sambil cuba menyelesaikan kes terbesar sepanjang kerjayanya.
Kes itu membabitkan ketua geng penjenayah yang membuat onar di seluruh negara untuk memenuhi impiannya menguasai dunia kongsi gelap Asia Tenggara.
Menurut pengarah projek, Adrian Teh, sebagai seorang pengarah yang telah menghasilkan filem-filem fenomena seperti The Wedding Diary, Paskal dan Wira, tentunya dia berbangga dapat menyertai pasukan drama ini yang dianggap mempunyai tarikan tersendiri.
“Watak utama diterajui kaum minoriti dengan premis zaman retro beserta aksi. Ini sesuatu yang sangat mencabar buat saya sebagai seorang pengarah.
“Sudah tentu saya mahu turut serta,” katanya.
Malah pandangan itu turut disokong oleh pelakon utamanya, Sangeeta Krishnasamy yang diberi tanggungjawab memainkan watak Vash.
“Diberi amanat untuk memegang watak ini, sudah tentu saya sangat teruja. Lagipun ia membabitkan sebuah projek yang tertumpu pada satu zaman di mana sistem kehakiman jenayah tempatan menghadapi cabaran-cabaran terbesar.
“Ia adalah kisah terkenal dalam sejarah negara, dan saya lebih gembira bahawa ia dinaungi seorang protagonis wanita. Ini meraikan tempat wanita dalam pasukan beruniform,”katanya.
Drama bersiri ini juga dianggap bakal mendapat tempat di hati penonton apabila produksi turut meletakkan, Bront Palarae yang pernah merangkul gelaran pelakon terbaik dan paling banyak menerima anugerah di Asia Tenggara.
Melahirkan rasa teruja untuk menjayakan naskah ini, kata Bront, ia adalah antara naskah yang membuatkan dirinya sukar untuk menolak.
“Saya sangat teruja untuk beraksi dalam I Am Vash sambil menghidupkan kisah-kisah sahih serta watak-watak Asia Tenggara buat tontonan dunia.
“Apatah lagi diberi peluang bekerjasama dengan pasukan dari 108 Media serta Revolution Media, saya yakin kami akan menjadikannya satu pengalaman luar biasa.”katanya.
Dalam pada itu, Zainir Aminullah yang pernah menjadi penerbit eksekutif projek-projek global seperti Dirk Gently dan The Ghost Briden turut sama memberikan pendapatnya berkenaan projek kreatif ini.
“Malaysia sekitar 1970-an merupakan era dengan pelbagai detik penuh sensasi. I Am Vash adalah sebuah kisah yang menakjubkan disulami adegan-adegan benar yang pernah terjadi, dan kami begitu teruja untuk membawanya ke layar tontonan.
“Diilhamkan oleh peristiwa bersejarah, watak-watak ikonik dan wira-wira nyata, siri penuh aksi ini digarap dengan panel penulis lintas-sempadan buat tontonan penduduk tempatan serta antarabangsa dengan menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia di samping bahasa Tamil dan juga dialek dialek bahasa Cina.
“Ia pastinya mampu menyuntik semangat muhibah buat kita sebagai rakyat Malaysia,”katanya.
Pengedaran I Am Vash akan dilakukan oleh 108 Media di peringkat antarabangsa bersama Revolution Media untuk rantau ini dan Malaysia.
Berpangkalan di London dan Singapura dengan pejabat jualan serta penerbitan utama di Toronto, Los Angeles, Tokyo, Kuala Lumpur, serta Manila, 108 Media akan menanggung kos kewangan serta menerbitkan projek ini melalui bahagian penjanaan kewangannya ke arah pasaran antarabangsa berlandaskan fokus utama untuk memperkasakan para pencipta baharu dengan harta intelek yang merentas budaya.
Revolution Media yang merupakan penerbit bersama siri ini adalah sebuah syarikat pembangunan dan penerbitan yang berpusat di Malaysia dengan rangkaian projek bersiri dan filem di Amerika Utara, Australia, Indonesia serta Malaysia.