Sibuk jual tauhu bergedil, kenapa petik nama saya? - Zed Zaidi - Utusan Malaysia

Sibuk jual tauhu bergedil, kenapa petik nama saya? – Zed Zaidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman)a, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi melahirkan rasa hairan apabila namanya tiba-tiba dipetik sebagai antara individu yang kononnya melaporkan syarikat produksi milik Sheila Rusly dan Azman Yahya atau Jinggo menjalani penggambaran tanpa Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) baru-baru ini.

Menurut Zed, dia tidak terlibat langsung dengan kejadian tersebut dan baginya, tuduhan itu telah menimbulkan kekeliruan orang ramai.

“Macam inilah, bagi saya, mana-mana orang yang petik nama saya ini, kita doakanlah yang baik-baik. Sebab kita tahu tanggungjawab kita dan inilah masanya orang nak mulakan penggambaran, nak kembali cari makan dan saya percaya ramai yang tahu peraturan dan undang-undangnya.

“Tak payahlah melaga-lagakan saya dengan pihak Sheila Rusly dan produksi itu sebab benda saya tak buat. Memang saya nafikan. Saya pun tengah sibuk berniaga Tauhu Bergedil Begedul di Damansara Perdana, tak ada masa nak sibuk hal orang lain tengah buat penggambaran,”katanya.

Zed berkata demikian semasa dihubungi Utusan Malaysia hari ini bagi mengulas desas-desus bahawa kemungkinan dia adalah individu yang membuat laporan mengenai situasi yang dialami oleh produksi JS Pictures Sdn Bhd yang kini sedang menjalani penggambaran drama Roti Cicah Susu di Ipoh.

Terdahulu, Sheila telah membuat satu kenyataan dan kecewa kerana menerima arahan supaya menghentikan penggambaran tersebut yang didakwa datang daripada pegawai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada 12 Oktober lalu.

Arahan itu didakwa dikeluarkan setelah pihak produksinya dikatakan melakukan penggambaran tanpa SPP namun disangkal Sheila berserta surat bukti daripada Finas yang diperolehi mereka sejak 30 September lalu.

Perkara tersebut juga dilihat turut menimbulkan rasa kurang senang anaknya, Uzair Haqimy yang turut berada di set penggambaran di Ipoh bagi menjayakan drama tersebut.

Menerusi tinjauan Utusan Malaysia, terdapat banyak komen yang ditinggalkan oleh pengikut Uzair yang menyebut nama Zed Zaidi selain mendakwa Ahli Jawatankuasa (AJK) Finas tersebut tidak cuba memudahkan urusan produksi terbabit.

Dalam pada itu, Zed ketika bercakap kepada Utusan, meletakkan kepercayaan yang tinggi bahawa produksi Sheila dan Jinggo sudah pasti sedia maklum akan sebarang peraturan dan menjalankan penggambaran dengan disiplin.

“Mereka adalah orang yang berpengalaman dan faham akan undang-undang. Mereka sudah lama ada dalam industri ini dan buat kerja dengan baik.

“Saya tengok, ramai yang sudah memulakan penggambaran semula dan ini satu perkara yang baik kerana sekurang-kurangnya dapat membuka peluang pekerjaan kepada tenaga pekerja belakang tabir yang sebelum ini terjejas dek pandemik.

“Orang nak cari makan, nak ada kelangsungan hidup, sama-sama kita bekerja semula tanpa melanggar peraturan. Ikut saluran yang betul. Mereka yang tuduh saya itu, tak mengapalah, kita teruskan hiduplah,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya