KUALA LUMPUR: Rhythms of Kinabalu 2021 membuka tirainya hari ini dengan bertemakan Musical Land Below The Wind dan berlangsung secara maya selama dua hari.
Program anjuran Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bertujuan untuk penyemarakkan dan pemeliharaan seni tari dan muzik negeri Sabah.
Pengarah JKKN, Mesran Mohd. Yusop berkata, program ini juga bertujuan menyebarluaskan aktiviti- aktiviti kesenian dalam usaha merancakkan dan memacu sektor industri kreatif negeri tersebut.
“Selain itu, Rhythms of Kinabalu 2021 meningkatkan apresiasi seni muzik dan tari khasnya masyarakat tempatan di Sabah.
“Program yang disiarkan melalui JKKN TV selama dua hari ini dianjurkan secara bersama-sama dengan beberapa agensi antaranya JKKN Sabah, Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia dan banyak lagi,” katanya.
Tambah Mesran, program itu kembali dengan konsep dan norma baharu akibat daripada pandemik Covid 19 apabila bentuk persembahan yang ditampilkan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dari masa ke semasa.
“JKKN Sabah telah menambahbaik serta memberi suntikan baharu dengan mempelbagaikan pengisian aktiviti untuk semua peringkat umur dan sesuai ditontoni oleh seisi keluarga serta khalayak yang berbeza.
“Antara pengisiannya adalah seperti persembahan muzikal Musical Land Below The Wind seperti nyanyian, tarian, koir, okestra muzik, promosi produk seni budaya dan pelancongan Sabah.
“Diharapkan program ini dapat memberi impak baharu dalam penyemarakan seni dan industri pelancongan negara khususnya di Sabah, dan seterusnya mewarnai seni negeri ini dalam pelbagai medium dan genre kesenian,”katanya.
Rhythms of Kinabalu yang dianjurkan sejak 2011 ini juga menampilkan Jimmy Palikat, Francis Landong, Canang Busker, Fauziah Gambus, Razali Kulintangan dan ramai lagi dalam konsert kemuncak malam ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai Rhythms of Kinabalu 2021, orang ramai boleh layari laman
sesawang www.jkkn.gov.my atau laman www.facebook.com/mysenibudaya dan www.facebook.com/jkknsabah.