PETALING JAYA: Pemergian pengarah tersohor tanah air, Mamat Khalid, pagi tadi telah mengejutkan industri seni tanah air selepas berita duka tersebut dikongsi oleh warganet sejak pagi tadi.
Laman Instagram kini dipenuhi dengan ucapan takziah rakan artis terutama pelakon yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham Mamat Khalid.
Menerusi entri Instagram pelakon Zul Ariffin, dia yang pernah berlakon di bawah pengarah itu mengucapkan ucapan takziah buat keluarga arwah selain menzahirkan penghargaan kerana pernah menghiburkan hati arwah ibunya juga di set.
“Al-Fatihah dan takziah kepada keluarga arwah abang Mamat Khalid. Sesiapa yang tidak kenal dan pernah tengok watak Encik Solihin, mohon sedekahlah Al-Fatihah.
“Terima kasih abang hiburkan hati arwah mak saya di set, beri dia senyuman walaupun ketika itu hati anak dia rabak. Tetapi masih kuatkan diri untuk teruskan kerja untuk karya abang,” coretnya di Instagram.
Menjengah di Instagram pelakon Sharnaaz Ahmad pula, walaupun tidak pernah berkarya bersama arwah, namun pemergiannya cukup dirasai malah semua warga industri hiburan juga.
“Tidak sempat bekerja dengan arwah, tidak sempat berkenalan dengan arwah. Cuma mengenali dia dengan semua ceritanya yang cukup hebat.
“Malaysia kehilangan seorang pembikin filem dan seorang anak seni yang sangat-sangat hebat. Al-Fatihah, abang Mamat,” katanya.
Selain itu, ramai lagi artis yang menzahirkan ucapan takziah atas pemergiannya antaranya ialah pelawak Achey, pelakon Amar Baharin serta pelakon Afdlin Shauki.
Sekadar informasi, pengarah drama, Raja Mukhriz Raja Ahmad memaklumkan menerusi Facebook, jenazah Allahyarham sudah selesai dimandikan dan disembahyangkan sebelum dibawa ke Ipoh untuk urusan pengebumian selepas waktu Zohor.