PETALING JAYA: Isteri kepada penyanyi terkenal, Asfan Shah selamat melahirkan cahaya mata keempat mereka, pada Sabtu lepas.
Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu popular Sumpah Cintaku itu berkongsi khabar gembira tersebut selepas memuat naik satu gambar dia bersama bayi perempuannya buat tatapan umum.
Sehubungan itu, Asfan menitipkan rasa syukur kehadrat Ilahi kerana segala urusan dipermudahkan selain gembira menerima puteri sulung dalam keluarga kecilnya.
“Alhamdulillah, syukur Ya Allah. Isteri saya telah selamat melahirkan bayi keempat kami malam semalam.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Paling gembira Mommy sudah ada kawan dah lepas ini, hendak pergi membeli belah, nursery serta pasar.
“Selamat datang sayang Daddy si bayi perempuan. Tiga imam satu makmum untuk keluarga ini,” kongsinya di Instagram.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet dan rakan artis turut berkesempatan menzahirkan ucapan tahniah selain mendoakan semoga bayi mereka sentiasa dilindungiNya.
“Tahniah Asfan!” komen penyampai radio Deen Hot FM.
“Tahniah, Alhamdulillah. Semua dipermudahkan. Amin,” komen peminatnya.
“Alhamdulillah, tahniah Asfan. Semoga zuriat ini berjaya di dunia dan akhirat serta membahagiakan kedua ibu bapanya kelak,” komen lagi seorang peminatnya.
Sekadar Informasi, Asfan dan isteri telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 23 Ogos 2013 dan dikurniakan tiga orang anakanda bernama Ali Haytham Shah, Ali Wakeel Shah serta Ali Binyameen Shah.