SEBELUM anda melatah dengan ulasan penulis, ingin dimaklumkan di sini sekadar ulasan semata-mata menerusi pengamatan dan pandangan sahaja.
Sejujurnya penulis sudah lama menantikan karya Marvel Studios mengangkat seni bela diri kung fu. Akhirnya dapat juga menyaksikannya filem Shang-Chi and The Ten Rings yang ditayangkan di pawagam pada 7 Oktober lalu.
Bagi penulis, dengan karya seumpama itu, secara tidak langsung mampu menarik perhatian dan pasaran baharu daripada masyarakat Cina dan terutamanya penduduk di Asia.
Tidak dinafikan, Marvel punya pengikut setia dan tegar tersendiri. Cuma menjadi bonus sekali-sekala menayangkan daripada komuniti dan bangsa lain pula bukan?
Secara ringkasnya Shang-Chi and The Ten Rings arahan Destin Daniel Cretton berkisarkan seorang lelaki yang handal dalam ilmu kung fu tetapi sayang dia dirasuki rasa tamak untuk menjadi individu paling berkuasa.
Begitu pun, nasibnya berubah setelah berjumpa dengan seorang perempuan yang kuasanya jauh lebih hebat berbanding lelaki berkenaan.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Xialing lakonan Zhang dan Shang-Chi (Simu Liu) di mana masing-masing turut memperoleh kehandalan seni bela diri yang diperturunkan oleh kedua ibu dan bapanya.
Justeru, mampukah dua orang anak-anaknya menandingi dan menghentikan keghairahan sikap gila kuasa bapa mereka sendiri? Anda saksikan sendiri di panggung wayang berhampiran rumah anda.
Dominasi Asia
Menerusi filem itu, hampir majoriti penglibatan artis dibintangi oleh pelakon berketurunan Asia. Bahkan, dalam filem tersebut, anda akan dapat melihat masyarakat komuniti kecil Cina yang hidup di San Francisco, California.
Selain Simu dan Zhang, selebriti hebat lain terdiri daripada Awkwafina (Katy), Fala Chen (Leiko Wu) dan Tony Leung (Xu Wenwu).
Menarik dan membanggakan lagi adalah dengan penampilan pelakon Malaysia iaitu Michelle Yeoh dengan watak utama sebagai penggerak cerita dalam satu babak yang bakal anda saksikan sendiri. Dominasi Asia lain juga seperti penggunaan bahasa Mandarin.
Menyentuh berkenaan naratif yang membawa penonton sepanjang hampir dua jam dan 12 minit. Penulis amat kagum akan bagaimana penyusunan muzik yang disuntik ke dalam naskhah tersebut.
Kesannya membuatkan penulis sentiasa berdebar terutama ketika menyaksikan adegan pertarungan.
Bukan Marvel kalau tiada sedikit episod sedutan akan datang bukan?! Jadi ingat jangan cepat sangat keluar panggung itu. Penonton akan menyaksikan Sang-Chi berhubung dengan Iron Man.
Selamat menonton!