KETIKA era 80-an, lagu-lagu dendangannya cukup diminati ramai. Cinta Embunan Pagi, Rumah Kecil Tiang Seribu dan Bukan Belas Bukan Simpati antara rilisan yang cukup diingati peminat sehingga kini. Tidak hairanlah koleksi terbaik nyanyiannya masih diputarkan di corong radio, seakan memberitahu karya tersebut masih relevan dan diminati ramai.
Di usia 11 tahun dia sudah mula menyertai pertandingan nyanyian Bintang RTM. Mempertaruhkan lagu Francissca Peter, berjudul Saat Aku Kehilanganmu, berjaya melayakkan dia untuk ke peringkat akhir pertandingan.
Siapa sangka tuah akhirnya datang bergolek apabila pada 1988, ketika berusia 13 tahun dia terpilih mewakili negara ke Pertandingan World Children’s Music Festival di Nagoya, Jepun dan berjaya mendapat tempat pertama.
Bintangnya terus bersinar apabila dilamar syarikat rakaman sehingga terhasil album pertama, Erti Budi yang diterbitkan pada 1987.
Bersama Mingguan Malaysia, anak kelahiran Batu Burok, Terengganu, Azian Mazwan Sapuan, 46, berkongsi cerita tentang karier dan kehidupan terkininya setelah sekian lama menhambakan diri dalam industri hiburan tanah air.
“Seperti kebanyakan artis di era 80-an, saya terlebih dahulu mengasah bakat dengan menganggotai sebuah band di kampung bernama Computer.
“Saya dan anggota kumpulan selalu mengadakan persembahan di balai belia kerana di situ pusat aktiviti. Setiap bulan pasti ada pelbagai majlis, antaranya kenduri kahwin, pertunjukan fesyen dan persembahan nyanyian. Pendek kata memang meriah.
“Saya belajar menyanyi dari ayah dan beberapa orang bapa saudara. Mereka memang aktif kerana di kampung juga mereka ada kumpulan sendiri dan sering buat persembahan di merata tempat,” katanya membuka bicara.
Tidak pernah bermimpi di kala usia sebegitu dia berjaya mencetak nama sebagai penghibur. Namun hakikatnya itu bukanlah satu perjalanan mudah. Sebelum melangkah jauh pelbagai laluan getir terpaksa ditempuhnya. Setiap hasil yang dikecapi merupakan usaha dan kerja keras yang telah dilakukan sebelum itu.
Memanjatkan rasa syukur atas setiap nikmat yang dikurniakan Ilahi, pemegang Sijil Diploma Eksekutif Pengurusan Kewangan lulusan dari Universiti Teknologi Mara ini memberitahu setiap perjalanan yang dilalui adalah momen manis yang sukar digambarkan, apatah lagi setelah berjaya memahat nama seiring dengan artis-artis ternama ketika itu.
Justeru sebagai gadis remaja yang baru menginjak usia, dia tidak terlalu memikirkan kerjaya nyanyian yang diceburi ketika itu adalah satu keutamaan. Yang ada di kotak fikiran hanyalah sekadar melunaskan minat yang terpendam.
“Ingin mencipta nama menjadi artis di era 80-an bukanlah sesuatu yang mudah. Saya juga tidak terkecuali. Untuk mara ke final Bintang RTM saya terpaksa melalui banyak fasa, antaranya kena bertanding dengan semua peserta dari Zon Pantai Timur. Setelah berjaya di peringkat saringan, barulah ke suku akhir, separuh akhir dan kemudiannya ke peringkat akhir.
“Alhamdulillah, saya berjaya menjadi johan di peringkat Zon Pantai Timur. Sebelum membuat persembahan di pentas final, kami semua berkumpul di Kuantan dan dibawa makan angin oleh penaja dengan menaiki Feri Malaysia ke Sabah dan Sarawak. Pengalaman tersebut cukup menyeronokkan.
“Tetapi saya tidak bernasib baik apabila tewas di pentas final. Namun persembahan pada malam itu mendapat pujian dari Ketua Juri, Datuk Ahmad Dassilah. Saya masih ingat kata-katanya, “jangan kecewa, you budak lagi umur masih muda. Tak payah nak menang. Walaupun kalah, tetapi you telah berjaya hiburkan kami dengan sempurna malam ini,” ujarnya tertawa.
Album pertama berjudul, Erti Budi yang diterbitkan pada 1987 adalah permulaan segalanya. Lagu Erti Budi yang diilhamkan oleh komposer Manan Ngah dan penulis lirik terkenal Habshah Hassan telah merubah sisi kehidupannya.
Tidak menduga lagu tersebut mendapat sambutan, dia yang ketika itu masih bergelar pelajar akui terkesan apabila terpaksa membahagikan masa antara pelajaran dan tawaran persembahan yang datang mencurah.
Jadi artis popular sekarang lebih mudah
Tidak pernah meletakkan diri sebagai selebriti, anak sulung daripada empat beradik ini berkata, dia tetap menjalani rutin harian seperti biasa. Jadual ketat persembahan di segenap pelosok negeri pada setiap hujung minggu juga bukanlah alasan untuknya mengabaikan persekolahan, walau ada ketikanya terpaksa memohon cuti tambahan gara-gara tidak punya masa untuk pulang ke destinasi.
“Kita budak lagi masa itu, manalah tahu tentang dunia glamor. Saya pun tak pernah letak diri sebagai seorang artis. Bila ada show saya pergi, bila di sekolah saya jadi macam pelajar lain. Perasaan jadi artis itu memang tak wujud langsung, cuma yang saya tahu waktu itu sudah ada peminat.
“Ibu bapa memang tegas. Walaupun ketika itu sibuk dengan show tetapi tugas hakiki sebagai seorang pelajar memang tidak boleh diabaikan. Ikutkan memang letih, bayangkan setiap hujung minggu saya akan ke Kuala Lumpur kerana show banyak di sana.
“Selepas itu kena pulang semula ke Terengganu kerana keesokannya perlu ke sekolah seperti biasa. Kalau show hari ahad pula memang kadang-kadang saya terpaksa pontenglah sebab tak sempat balik. Bila datang sekolah, nah, selambak homework cikgu suruh siapkan,” katanya tertawa.
Menurutnya laluan untuk menjadi artis pada hari ini tidaklah sukar berbanding dahulu. Banyak platform telah diwujudkan untuk membantu mereka menaikkan nama serta mempromosikan karya.
Bagaimanapun, dia berharap agar mereka tidak menyalahgunakan kemudahan tersebut sebagai tempat menaikkan nama melalui cara yang salah seperti mencipta kontroversi dengan pelbagai gossip murahan. Baginya perlu jadikan penghibur lama sebagai rujukan untuk menimba pengalaman.
Ironinya menjadi artis untuk dikenali mungkin mudah, tetapi meletakkan diri dan lagu untuk diminati sepanjang zaman adalah perkara sukar. Perlunya ada ramuan dan rencah yang berkualiti dalam setiap rilisan yang dihasilkan supaya tampak kekal dan relevan sepanjang masa.
“Artis hari ini beruntung. Melalui hujung jari sahaja sudah boleh berinteraksi dengan peminat. Artis dahulu terpaksa turun padang di setiap ceruk dan pelosok negeri untuk bertemu peminat. Peminat pula kalau nak jumpa dan tonton persembahan artis kena beli tiket.
“Seeloknya jadilah artis yang kurang gosip dan kontroversi kerana sebagai anak seni tugas kita hanyalah menjual bakat kepada peminat dan bukannya mencipta publisiti murahan yang tidak tentu hala. Biar peminat kenal kita melalui bakat dan lagu-lagu, bukan sebaliknya,” katanya.
Meneruskan kerjaya di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya bukanlah penghalang untuknya meneruskan cita-cita sebagai penghibur. Bakatnya sering ditagih apabila diberi kepercayaan mengadakan persembahan terutamanya melibatkan program dan majlis keraian di pelbagai sektor korporat hari ini.
Walaupun pernah hadir dengan tiga album sebelum ini, namun di sudut hatinya tersemat impian untuk menerbitkan karya terbaru pada masa akan datang. Memilih komposer, Ajai sebagai calon pilihan, dia berharap impian tersebut akan terlaksana suatu hari nanti.
“Alhamdulillah, walaupun tidak muncul di kaca TV, namun undangan persembahan masih ada sehingga kini. Selain itu, ada juga yang jemput saya sebagai juri.
“Perancangan terbitkan karya terbaru bukan nak kejar glamor atau bersaing dengan artis lain. Sekadar ingin beritahu peminat yang saya masih wujud,” katanya mengakhiri perbualan.