KUALA LUMPUR : Umpama kecewa dengan situasi yang berlaku dalam industri terutama apabila menyentuh mengenai perbandingan drama tempatan dengan negara luar, aktor hebat tanah air, Beto Kusyairy, 41, tampil meluahkan pandangan.
Menerusi rantaian hantaran di Twitter, Beto, menyindir tindakan pengamal industri kreatif terutama penerbit dan stesen televisyen yang lebih mengutamakan jumlah pengikut di media sosial seseorang artis berbanding bakat yang ada.
“Jika benar sejuta itu syarat, maka ianya juga isyarat terkuburnya seni dan kesenian. Jika yang bagus tidak punya sejuta, yang sejuta juga belum tentu bagus.
“Sepuluh hingga 20 tahun dulu masih tak jauh berbeza. Dan kini budaya mengharap dan menjual mereka yang punya berjuta pengikut pula makin menular.
“Kualiti jatuh nombor dua. Yang penting jual. Yang kaya makin kaya. Yang merintih makin merana. Realiti,”katanya.
Selain itu, Beto juga menyentuh mengenai soal bajet yang terdahulu ditulis oleh seorang pengguna media sosial yang menganggap hal itu tidak penting berbanding penambahbaikan kualiti pada jalan penceritaan karya tempatan.
“Kalaulah tak perlukan bajet untuk dapatkan penulis dan pengarah yang bagus untuk mengolah sesuatu drama ikut logical, untuk utk kamera dan pencahayaan,keperluan penggambaran, untuk dapatkan tenaga kerja ikut kepakaran masing-masing dan bahagian-bahagian lain. Kalaulah…
“Kerja-kerja sebegini memerlukan kepakaran, pembuatan, masa, tenaga dan macam-macam lagi. Dan kesemuanya ada harga dan bukan percuma. Nak bagus serba serbi perlu ada modal besar.
“Dan ia tak berhenti bila barang siap. Pemasaran dan pasukan lain pun nak bajet juga,”katanya.
Tambah pelakon ini lagi, segala yang dinyatakan itu adalah satu keperluan untuk memperlihatkan hasil karya yang mampu mencapai tahap yang tinggi.
“Jika tidak, lalu akan terlihatlah pada visual akan segala kekurangan. Dari sudut penulisan hinggalah hasil akhir produk kerana banyak kekangan akibat bajet yang ciput dan tidak memadai dengan permintaan. Realiti,”katanya.