PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Rita Rudaini berkongsi detik percintaan bersama bekas suaminya yang juga pemain bola sepak profesional tanah air, Aidil Zafuan pada ketika dahulu.
Menurut Rita, dia berkongsi sejarah lampau itu sementelah memuat naik satu hantaran gambar anakandanya dari belakang sambil memakai baju jersi berwarna merah bertulis nama ‘Airit’, ketika terjumpa semula baju tersebut sewaktu berkemas.
Jelas pelakon itu juga, dia memberitahu nama Airit tersebut merupakan gabungan namanya dengan Aidil.
“Ceritanya, tadi tengah kemas baju-baju lama hendak beri orang. Kemudian, terjumpa jersi lama. Tunjuk kepada Ryan dan Juna. ‘tahu tak ini jersi tahun bila? Inilah jersi masa Mommy dan Daddy mula bercinta.
“Daddy bermain bola dengan pasukan Negeri Sembilan. Selepas itu Daddy membuat jersi Negeri Sembilan untuk Mommy. Sambung nama Daddy dan Mommy jadilah Airit.
“Seorang pasukan pengurusan Negeri Sembilan pun mesej Mommy tanya ‘Airit’ itu apa? Itulah sejarah bermulanya nama Airit. Hebat tak hebat cinta Mommy dan Daddy sampai rentas benua lah,” kongsinya di Instagram.
Sekadar informasi, mereka pernah berumah tangga pada tahun 2008, namun jodohnya tidak panjang dan bercerai pada September 2013.
Bagaimanapun, hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua permata hati iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.