Istana Budaya hadkan pembelian tiket konsert - Utusan Malaysia

Istana Budaya hadkan pembelian tiket konsert

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Mendapat permintaan tinggi untuk penganjuran konsert-konsert yang sudah dirancang, Istana Budaya (IB) bagaimanapun meletakkan syarat hanya empat tiket dibenarkan dibeli oleh penonton.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Artistik IB, Zaifri Husin, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada lebih ramai pihak untuk mendapatkan tiket konsert anjuran Istana Budaya selain mengelak insiden kekecohan penjualan tiket di kaunter yang berlaku semalam.

“Hasil perbincangan dengan pihak pemasaran IB, kami mengambil keputusan untuk mengehadkan penjualan tiket kepada hanya empat keping seorang.

“Ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk membeli dan menikmati persembahan yang dibawakan pihak IB pada tahun ini,”katanya.

Zaifri berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Patriotik Tanah Airku di Selasar Pualam, Istana Budaya baru-baru ini.

Konsert Patriotik Tanah Airku bakal menampilkan persembahan penyanyi Syamel, Ernie Zakri, Aina Abdul, Fitri Hiswady, dan Hairi Safwan yang bakal berlangsung pada 6 November di Panggung Sari, Istana Budaya.

Tambah Zaifri, pihaknya juga ingin memohon maaf atas insiden yang berlaku dan sedang dalam persiapan untuk melangkah ke arah sistem penjualan tiket secara dalam talian menjelang awal tahun depan.

“Berikutan itu, kami ingin memohon maaf kepada orang ramai yang datang membeli tiket secara tunai semalam. Saya sendiri nampak orang beratur panjang di luar IB dan meminta untuk mereka masuk ke dalam kerana faktor cuaca panas dan hujan semalam.

“Kami ambil maklum isu yang berlaku semalam dan IB kini sedang dalam proses ke arah pendigitalan yang dijangka dapat dilaksanakan awal tahun depan.

“Sebenarnya usaha ke arah pendigitalan ini sudah dimulakan sejak Jun lalu namun disebabkan proses untuk menyiapkannya mengambil masa yang panjang jadi kami tidak dapat laksanakan pada tahun ini,”katanya.

Semalam isu penjualan tiket Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia Bersama Bintang Misha Omar menjadi bualan hangat di media sosial apabila ramai pembeli tidak berjaya membeli tiket di kaunter yang dibuka di IB.

Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia Bersama Bintang Misha Omar akan berlangsung di Istana Budaya pada 30 Oktober ini.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kapasiti penonton dikecilkan kepada 735 daripada kapasiti penuh iaitu 1,400 tempat duduk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya