PETALING JAYA: Isteri kepada pelawak terkenal, Shahrol Shiro, Anna Danisha memaklumkan cahaya mata keduanya, Ismail Rifqi menjalani pembedahan buah pinggang di Pusat Perubatan Sunway, Johor Bahru, pagi ini.
Menurut Anna, prosedur pembedahan tersebut akan bermula jam 9.30 pagi dan dijangka mengambil masa selama empat jam.
Sehubungan itu, dia meminta orang ramai untuk menitipkan doa buat anakandanya itu agar dipermudahkan urusan pembedahan tersebut.
“Ismail baru sahaja masuk ke bilik pembedahan pada jam 9.30 pagi. Dijangkakan pembedahan mengambil masa selama empat jam.
“Mohon kalian mendoakan untuk Ismail Rifqi Shahrol Azizie. Semoga segala urusan Ismail dipermudahkan.
“Ismail anak yang kuat ya. Allah hanya padamu aku berserah,” kongsinya di Instagram.
Menjengah di entri Instagram Shahrol pula, dia memanjatkan doa agar dirinya dan isteri kekal kuat untuk menghadapi ujian tersebut.
“Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami menghadapi ujian ini. Sembuhkanlah anakanda kami dan berikanlah dia kesihatan yang baik. Hanya padaMu kami meminta Ya Allah.
“Buat isteriku, jangan bersedih dan saya yakin awak seorang wanita yang kuat,” katanya di Instagram.
Terdahulu, isteri pelawak itu mendedahkan Ismail hanya mempunyai satu buah pinggang sahaja selepas disahkan doktor.
Malah, dia memberitahu juga buah pinggang di bahagian kiri anaknya itu disahkan mengalami bengkak.