Pencinta kek chiffon pasti menggemari Hokkaido Cupcake atau Kek Cawan Hokkaido. Pemanis mulut ini terkenal dengan teksturnya gebu, lembut, ringan dan beraroma semerbak selepas dibakar.
Tambah menyelerakan apabila dinikmati bersama krim kastard di dalamnya.
Walaupun kek cawan ini menggunakan nama wilayah utara di Jepun, tetapi Hokkaido Cupcake dikatakan berasal dari Malaysia.
Barangkali taburan snow powder bahagian atas kek ini maka ia dinamakan Hokkaido bersempena pulau kedua terbesar di Jepun itu yang menghasilkan snow tebal semasa ribut salji.
Namun blog terkenal, Kitchen Tigress pula menyatakan, kek cawan itu dihasilkan daripada susu Hokkaido, lantaran itulah ia dinamakan sebagai Hokkaido Cupcake.
Minggu ini Seri kongsikan resepi sentuhan Siti Fatimah Ahmad yang mudah disediakan. Selain menggunakan filling atau inti krim kastard, kepelbagaian perisa boleh ditukarkan mengikut selera masing-masing sama ada cream cheese, coklat, blueberry, strawberi dan sebagainya.
Resipi Hokkaido Cupcake (Kek Cawan Hokkaido)
Bahan-bahan A:
3 biji putih telur (pastikan tiada kuning telur melekat)
30 gram gula aising
Secubit cream of tartar
Cara-cara penyediaan:
1. Gunakan bekas yang kering, pukul putih telur menggunakan mixer hingga berbuih.
2. Tambahkan gula sedikit demi sedikit dan cream of tartar. Kemudian terus memukul dengan kelajuan tinggi hingga adunan kental dan kaku (soft peaks).
Bahan-bahan B:
3 biji kuning telur
15 gram gula aising
50 gram tepung kek*
20 gram tepung kastard*
1 sudu kecil serbuk penaik dan sedikit soda bikarbonat*
40 milliliter (ml) minyak
30 ml susu penuh krim
Secubit garam
Sedikit esen vanila
(Bahan bertanda * diayak bersama)
Cara-cara penyediaan:
1. Satukan tepung kek, tepung kastard, serbuk penaik dan soda bikarbonat. Ayak bahan berkenaan tiga kali.
2. Pukul kuning telur dan gula menggunakan pemukul.
3. Tambahkan esen vanila, susu penuh krim dan minyak. Pukul rata kesemua bahan ini.
4. Masukkan bahan yang telah diayak tadi dan gaul rata.
5. Ambil satu pertiga adunan putih telur (Bahan A). Masukkan ke dalam adunan tepung.
6. Gaul rata menggunakan kaedah kaup balik. Kemudian masukkan baki adunan dan gaul hingga sempurna dengan kaedah yang sama.
7. Tuangkan adunan dalam ramekins atau cawan kertas anggaran 60 peratus penuh.
8. Bakar dalam ketuhar selama 25 hingga 30 minit.
9. Keluarkan kek daripada ketuhar setelah masak sepenuhnya.
10. Pastikan kek sejuk dahulu dan paipkan filling ke dalamnya dengan menggunakan piping bag.
Nota: Pastikan kek betul-betul masak untuk mengelakkan kek terlalu kecut apabila dikeluarkan daripada ketuhar.
Boleh juga keluarkan satu cawan kek dalam masa 10 saat untuk memeriksanya. Jika kek masak sempurna dan tidak mengecut, keluarkan yang selebihnya.
Bahan-bahan krim kastard
1 sudu besar gandum
1 sudu besar kastard
1 sudu besar gula
1 biji telur kuning
1 sudu teh esen vanila
200 ml susu penuh krim
Secubit garam
Cara-cara penyediaan:
1. Masukkan kesemua bahan dalam bekas atau periuk.
2. Kacau sebati supaya tepung tidak berketul.
3. Ada dua kaedah memasak krim kastard. Antaranya, waterbath atau dimasak terus ke atas api yang sederhana tetapi hendaklah sentiasa dikacau sehingga adunan menjadi pekat dan licin.
Nota: Kek yang telah dipaipkan inti bolehlah ditabur dengan snow powder dan hiaskan dengan hirisan buah strawberi di atasnya. Selamat mencuba!