PETALING JAYA: Adik kepada usahawan kontroversi, Nur Sajat, Nur Mustika meluahkan rasa terkilan apabila dia turut menjadi mangsa serangan segelintir warganet yang mengecamnya tanpa usul periksa.
Menerusi entri Instagram, Mustika memuat naik satu tangkap layar yang memaparkan satu portal yang didakwa tersalah memuat naik gambarnya pada berita disiarkan berkaitan abangnya itu.
Jelas Mustika, dia berasa amat kecewa kerana masih menjadi tempat segelintir warganet melepaskan geram ke atas perilaku abang kandungnya, Nur Sajat.
“Kesiannya netizen, menerima maklumat betul-betul ditipu media. Kalau mana yang tidak tahu, ini gambar Mustika dan bukanlah Sajat. Sudah tentu ramai datang Instagram ini serang.
“Walhal, aku tiada kena mengena dengan perbuatan Sajat. Dia tidak peduli sesiapa, buat apa aku nak peduli setiap tindakannya.
“Namun, dugaan bukan kecil bila aku perempuan tanggung perbuatan dia selama ini,” luahnya di Instagram.
Tambah Mustika, abangnya itu tidak pernah memohon maaf terhadapnya walaupun telah meninggalkan nama buruk kepada keluarga.
“Dia meninggalkan nama buruk tanpa diberi pilihan aku kena tanggung? Anak, reputasi buruk serta dia tidak pernah nak minta maaf kepada aku.
“Malah, dia menghina kerana aku menerangkan kepada media sebelum ini walaupun dia mengetahui aku tidak memburukkan dia langsung,” katanya.
Sejak kebelakangan ini, nama usahawan itu kembali hangat apabila dia memaklumkan telah berhijrah ke negara Australia dan mengakui tidak akan kembali ke Malaysia kerana sudah ‘bercerai talak tiga’ dengan negara ini.