KUALA LUMPUR: Pelakon, Harris Annuar kini sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Pakar KPJ ekoran bibirnya disengat tebuan ketika mengikuti program kerohanian di Ipoh, Perak.
Berita yang dikongsikan menerusi Instagram miliknya itu turut memuat naik perkongsian hantaran video melihatkan keadaan bibirnya bengkak teruk.
“Ceritanya saya bangun pagi mandi untuk solat Subuh. Cuci muka, tidak perasan pula ada tebuan hinggap, saya lap muka terus dia sengat di bibir.
“Terima kasih atas doa. Saya okay cuma botok asli daripada tebuan. (Tertawa kecik) pecah mat! (Geli hati menahan ketawa) aku sendiri pun gelak sampai terguling.
“Jadi ruangan komen di bawah ini memang untuk anda luahkan perasaan anda,” ujarnya berseloroh.
Terdahulu di Instastory pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan berkenaan berkongsi beberapa rakaman video pendek sedang mengikuti program kerohanian bersama pendakwah bebas Ebit Lew.
Sementara itu, Harris turut mengulang siar perkongsian hantaran Instastory kakaknya, Nadia Annuar.
“Hampir tidak kenal muka adik sendiri disengat tebuan. Dia boleh gelak eh? Nak nangis kita tengok,” katanya.
Menjengah di ruangan komen, majoriti pengikut dan rakan-rakan artis mendoakan semoga pelakon meningkat naik itu cepat sembuh selain ada segelintir yang turut tertawa dan terkejut dengan perkongsian berkenaan.