ALI2021: Pasaran pop lapangan independen - Utusan Malaysia

ALI2021: Pasaran pop lapangan independen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANUGERAH Lagu Indie (ALI) 2021 selesai mengumumkan senarai 30 lagu terbaiknya yang akan layak ke peringkat separuh akhir. Majlis pengumumannya diadakan bersama sidang akhbar bersama wakil penganjur, penaja dan ketua juri pada Khamis lalu.

Terdapat isu berbangkit apabila salah satu lagu yang layak, Hujan Pasti Berhenti oleh Mafidz mengambil keputusan menarik diri kerana pencalonan yang dilakukan tanpa pengetahuan mereka. Lagu tersebut digantikan dengan 1ToJaga nyanyian Lawalah Familia.

Yang pasti, senarai 30 lagu yang terpilih menonjolkan kepelbagaian nuansa yang ada dalam pasaran pop tempatan. Beberapa lagu boleh dikira mempunyai nilai alternatif namun rata-rata lagu yang terpilih mempunyai nilai komersial yang boleh membawanya pergi lebih jauh sekurang-kurangnya dalam pasaran tempatan.

Masa hadapan atau kita yang terlewat?
Terdapat beberapa lagu yang saya kira boleh menjadi masa hadapan pasaran pop tempatan. Kesegaran yang dibawakan dari segi susunan, permainan lirik dan melodi boleh mengembangkan lagi katalog muzik popular negara.

Contohnya Senja Temu Lelah nyanyian kugiran BER_ dan Leaism. Lagu ini dilihat sebagai usaha mempopularkan semula legasi world music gaya Malaysia seperti yang pernah dibawa Zainal Abidin suatu ketika dahulu, tetapi dengan susunan dan getar yang lebih terkini. Elemen Nusantara turut digunakan dengan lancar sebagai penanda identiti yang tegar.

Begitu juga dengan Fun Lust Love nyanyian Late Night Frequency yang menjadi antara peneraju barisan synth pop yang menggegar lapangan independen tahun ini. Sayang apabila Alchemist gagal menembus masuk senarai 30 terbaik dengan Babyrina dan tiada kelibat kugiran seperti FAZZ dan Son Of A Policemen.

Namun, terdapat juga beberapa lagu yang nuansanya sudah biasa diguna pakai dalam pasaran pop antarabangsa tetapi masih sukar diterima pasaran tempatan. Seperti Tentang Siang, Malam dan Romantis (Ainina Hasnul dan Teman Lelaki) serta Kangen (KidiDaNoto) yang kuat inspirasi pop Indonesia selain If You Don’t Love Me Now oleh Steff Fleur. Lagu seperti ini jika diberi ruang boleh menguasai putaran radio-radio arus perdana.

Penjulang panji rock

Genre akar seperti rock sekian lama menguasai pasaran independen dan wakilnya dalam ALI2021 tidak begitu mengecewakan. Jelas kurang perwakilan muzik keras seperti hardcore dan metal memandangkan selera juri lebih ke arah nilai pop. Lagu paling ‘keras’ dalam senarai ini pun mungkin Misguided oleh Patriots dan All Over Again oleh Rina-Hime.

Dua wakil Luncai Emas, Ramayan dan Margasatwa dijangka cemerlang masing-masing dengan Puas dan Yang Asli. Kedua-dua lagu ini, diakui sendiri oleh kugiran tersebut, ialah produk mereka yang paling pop pernah dihasilkan.

Karya Brendan De Cruz – nama besar dalam lapangan independen Inggeris tempatan – bersama Adam Imanullah, Get It On juga tidak begitu pekat nuansa rock dan lebih pop dengan susunan moden. Kapow pula kekal dengan identiti rock n roll yang tekal namun bereksperimentasi dengan bunyian retro dalam Helang dan Garuda.

Hip hop Malaysiana
Agak mengejutkan apabila tidak begitu banyak wakil hip hop yang tersenarai dalam 30 terbaik ALI2021. Hasil sembang-sembang saya bersama beberapa ‘orang dalam’ ALI2021, walaupun penyertaan yang diterima memberangsangkan namun terdapat beberapa masalah pada lagu-lagu tersebut. Antaranya adalah pada keaslian lagu dan penggunaan watermark beat.

Namun, kehadiran Enge Port oleh Arunboii cukup untuk membuka mata peminat muzik tentang kepelbagaian dan kualiti muzik yang ditawarkan segmen hip hop lebih marginal, seperti dalam lapangan hip hop Tamil. Begitu juga Shutdown oleh LastKhalif, MB Nikz dan Killa Driz dengan rentak yang kuat.

Selain nama-nama yang disebut, Alive oleh Bihzhu; Jauh oleh Nusarasa; Bi-Po­lar oleh RESORT dan Getaran Cinta (Episod 3) oleh Countrywolves dilihat berpeluang mara ke peringkat akhir.

Bihzhu dan Nusarasa meng­­gunakan formula yang ti­dak jauh berbeza dengan penyertaan mereka tahun lalu namun masih tidak ba­si. Kekuatan melodi dan ke­pakaran mereka dalam persembahan langsung akan menjadi senjata ampuh untuk mengulangi kejayaan tahun lalu.

Separuh Akhir ALI2021 akan diadakan pada 13 dan 20 November ini, disiarkan secara langsung di saluran Youtube Anugerah Lagu Indie. Senarai lagu yang layak dan segala maklumat lain boleh diikuti melalui tanda pagar #ALI2021 dan media sosial rasmi Anugerah Lagu Indie.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya