Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakar sejarah dengan kolaborasi bersama University of Strathclyde (Hunter Center for Entrepreneurship), panel dari Universiti Kebangsaan Malaysia (Center of Entrepreneurship & SME Development – CESMED), dan University of Sterling, United Kingdom bagi menjayakan Webinar Pendidikan Keusahawanan.
Wacana akademik itu disertai hampir 80 orang dalam kalangan pensyarah, penyelidik, pelajar pra dan pasca siswazah di Malaysia dan United Kingdom.
Wakil Universiti Malaysia Terengganu, Tuan Ahmad Marwan Tuan Rosdi berkata, wacana UMT melalui Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan (PPAL) itu diadakan bagi berkongsi pengalaman dan kepakaran pendidikan keusahawanan di institusi masing-masing.
“Ia juga adalah platform dalam menerokai sektor yang membawa margin pulangan terbesar kepada pelajar di institusi masing-masing, khususnya yang terlibat dalam kursus dan projek keusahawanan.
“Berdasarkan wacana dilaksanakan, peserta dapat mengambil peluang dalam melatih kemahiran insaniah dan membentuk mentaliti keusahawanan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Perkongsian bersifat global dan analisis itu dilaksanakan merangkumi pasaran, praktis dan amalan keusahawanan terbaik, berdasarkan demografi dua benua berbeza iaitu di Eropah dan Asia Tenggara.
Antara dibincangkan ialah, minda keusahawanan, pengetahuan ilmu keusahawanan, pembelajaran keusahawanan berasaskan pengalaman dan juga pengetahuan digital dalam keusahawanan.
Antara panelis webinar ialah penyelidik dan pensyarah keusahawanan UMT, Borhanudin Mohd Yusof dan Dr. Zatun Najahah Yusof dari University of Strathclyde dan Dr. Najib Murad dari University of Sterling.
Hunter Center for Entrepreneurship adalah antara institut keusahawanan tersohor di Eropah.
CESMED UKM pula merupakan institut yang terkenal dalam kalangan pensyarah, penyelidik dan juga komuniti dalam kajian keusahawanan.