PETALING JAYA: Pelakon Akmal Ahmad, meluahkan rasa terkilan apabila nama baiknya disalah gunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memperdaya warganet atas alasan uji bakat lakonan.
Menurut Akmal, dia berasa sangat kesal apabila scammer berkenaan menggunakan namanya sebagai umpanan para gadis termasuk meminta gambar tidak senonoh.
“Dunia semakin moden, teknologi semakin canggih juga fitnah semakin berleluasa. Seperti gambar tangkap layar di atas, pemilik akaun Instagram yang bernama dan.ny6616 mendakwa yang mana saya pernah ‘lunch’ dengannya pada sekian tarikh di sekian tempat.
“Selain itu, kononnya telah meminta gambar untuk dijadikan peragaan tidak lucah dan menuduh saya juga sebagai scammer,” jelasnya di Instagram.
Sehubungan itu, Akmal juga tampil membuat penafian sekeras-kerasnya dengan perbuatan yang tidak bermoral dan jelas salah di sisi undang-undang itu.
“Saya ingin membuat penafian sekeras-kerasnya bahawa saya tidak pernah mengenali pemilik akaun ini, apatah lagi berjumpa. Juga, saya tidak pernah keluar rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Sesiapa yang mengenali aku pun tahulah. Walau bukan PKP nak mengajak lepak pun susah. Apatah lagi nak berjumpa dengan orang yang aku tidak kenal atau rapat,” katanya.
Dalam pada itu, dia meminta kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan gerak geri scammer supaya tidak menjadi mangsa mereka.
“Kepada semua juga, jika ada terima apa-apa sahaja mesej yang tidak pasti tentang saya atau sesiapa sahaja, siasat dahulu.
“Sekarang, aku betul teringin nak jumpa pemilik akaun ini. Tapi kena beli sarung tangan getah dahululah, risau tersentuh kau zaman Covid-19 ini. Laporan polis penafian rasmi sedang dipertimbangkan untuk diusul,” ujarnya panjang.