BEIJING – Kelab peminat anggota kumpulan BTS, Jimin, Jimin Bar, dikenakan denda oleh syarikat media sosial gergasi di China, Weibo kelmarin atas tindakan mengumpul dana dan merancang memaparkan wajah bintang K-Pop tersebut pada sebuah kapal terbang sebagai tanda meraikan ulang tahunnya yang ke-26 menjelang oktober ini.
Menurut laporan media antarabangsa, pihak berkuasa China telah mengambil tindakan segera ke atas perancangan kelab tersebut yang disifatkan sebagai satu aktiviti tidak munasabah daripada peminat-peminat yang taksub.
Difahamkan, Jimin Bar telah merancang untuk menampal penuh iklan wajah Jimin pada sebuah kapal terbang JejuAir sempena meraikan ulang tahun ke-26 penyanyi tersebut dan ia dikatakan yang pertama kalinya berlaku dalam sejarah industri K-Pop.
Weibo dalam satu kenyataan rasmi telah mengumumkan bahawa Jimin Bar dikenakan denda dengan cara tidak dibenarkan membuat sebarang hantaran menggunakan platform media sosial tersebut selama tempoh 60 hari.
“Pihak Weibo telah diminta oleh Pentadbiran Ruang Cyber China untuk menangani isu ini terutama dalam menapis perkara mengenai sokongan terhadap selebriti.
“Kami telah menerima aduan daripada warganet sekitar April lalu dan difahamkan kelab peminat tersebut telah menjalankan gerakan mengumpul dana untuk projek ubah suai iklan pada kapal terbang dengan paparan wajah Jimin BTS.
“Ia didapati telah melanggar peraturan. Kami telah mengambil tindakan segera untuk menyekat akaun Jimin_JMC yang juga dikenali sebagai Jimin Bar selama 60 hari dan memadam semua hantaran mereka yang berkaitan di Weibo,”katanya.
Selain itu, menurut Weibo dalam kenyataan yang sama, mereka memandang serius dan menentang sebarang perkara yang menjurus ke arah ketaksuban melampau peminat terhadap golongan selebriti sejajar dengan saranan kerajaan.
Sementara itu, setakat ini, tiada sebarang respons daripada kelab peminat Jimin Bar berhubung isu sekatan di media sosial ini.
Habis