“Tujuh jam rakam Warkah Untuk Kekasih” - Aan Ways - Utusan Malaysia

“Tujuh jam rakam Warkah Untuk Kekasih” – Aan Ways

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN semua penghibur mampu bertapak
lama dalam industri. Perlu kunci utama untuk sentiasa kekal relevan. Antaranya tahap konsisten serta kebijaksanaan menyantuni peminat. Walaupun dilihat mudah, namun adakalanya rumit untuk dilaksanakan, tambah pula apabila usia semakin meningkat dan populariti mula terhakis.

Namun penyanyi Aan Ways, atau nama sebenarnya Besran bin Zulkifly, 62, ada resepi tersendiri. Berbekalkan keupayaan dan pengalaman lampau, dia telah membuktikan bahawa ‘orang lama’ sepertinya masih mampu menakluk industri walaupun terpaksa bersaing dengan ratusan muka baharu hari ini.

Kemunculannya di pentas hiburan secara berkumpulan mahupun solo masih diterima peminat. Tidak hairanlah penghibur ‘otai’ ini mampu bertahan lama serta laris dengan undangan pentas.

Bersama Mingguan Malaysia, anak kelahiran
Kampung Bukit Betong, Kuala Lipis, Pahang ini berkongsi cerita tentang perjalanan
karier seninya dari dahulu hingga kini.

“Ketika di kampung saya banyak sertai pertandingan nyanyian terutamanya di daerah Kuala Lipis dan Jerantut. Tetapi jarang dapat tempat terbaik, cuma sekali sahaja saya pernah bergelar johan ketika Pertandingan Nyanyian Hari Peneroka di Jerantut.

“Pada 1982 saya menyertai kumpulan kebudayaan Jabatan Penerangan (Pentarama). Tidak sekadar menyanyi, tetapi kena jadi artis serba boleh antaranya berlakon, menari serta bercakap di khalayak ramai untuk menyampaikan pelbagai mesej dari jabatan,” katanya memulakan perbualan.

Pelantun lagu Warkah Untuk Kekasih ini memberitahu, dia perlu sentiasa menjadi terbaik antara yang terbaik apabila terpaksa bersaing dengan ramai penghibur berbakat lain antaranya, Shidee, Norshiela Amin, Hayati Tasrip, Salih Yaakob dan ramai lagi.

Cita-cita untuk memahat nama sebagai penyanyi semakin berkobar apabila melihatkan ramai di antara rakan-rakannya yang sudah berjaya dan mengeluarkan rilisan sendiri.

“Saya pergi berjumpa Datuk M. Nasir, waktu itu nama beliau cukup ‘besar’ dan dikenali. Saya beritahu ingin jadi penyanyi dan rakam album. M.Nasir tidak banyak komen, cuma dia beritahu saya suruh datang semula selepas satu bulan. Itu sahaja yang dia beritahu. Dapat atau tidak, saya tak pasti.

“Dalam tempoh menunggu tersebut saya jumpa Saari Amri. Saya beri demo tape untuk dia dengar. Dia berpuas hati dan terus beri satu lagu untuk dihafal. Katanya lagu tersebut cukup sesuai dengan saya. Namun apa yang mengejutkan dia minta saya rakam lagu tersebut keesokan malamnya. Saya menggelabah sebab dalam hati terfikir bagaimana nak hafal lagu tersebut dalam waktu yang singkat,” katanya.

Demi menggapai cita-cita yang sekian lama terpendam, dia tabahkan hati dan kuatkan semangat untuk melakukan yang terbaik walaupun kurang keyakinan untuk melaksanakan dalam waktu yang terhad.

Tidak mengalah, jauh sekali berputus asa, dia menyahut cabaran yang diberi dengan azam tinggi. Ini adalah ruang terbaik untuk dia merebut peluang yang terhidang serta dapat membuktikan keupayaan diri.

Fikirnya tuah tidak selalu datang bergolek, maka pelawaan harus ditunaikan.

“Saya masuk studio jam 10.00 malam dan selesai jam 5.00 pagi. Bayangkan berapa lama masa yang saya ambil untuk rakam sebuah lagu yang bertajuk ‘Warkah Untuk Kekasih’. Saya fikir kalau satu lagu ambil masa sehingga tujuh jam, bagaimana pula kalau satu album?

“Namun sebagai penyanyi yang langsung tiada pengalaman dalam studio rakaman saya akur dengan kelemahan. Selama ini bila menyanyi di pentas memang tak pernah ambil kisah tentang pitching, tone, feel dan sebagainya, tetapi bila dalam studio semua ini kena titik beratkan,” katanya.

Kerisauannya kembali reda apabila Saari Amri menyatakan hasrat untuk berkobalarasi dengannya dalam album tersebut, malah sebahagian lagu dalam album itu juga dinyanyikan olehnya.

Album pertama berjudul Ways diambil sempena nama kumpulan mereka. Lagu Warkah Untuk Kekasih serta merta melonjakkan namanya. Lagu ini bukan sahaja diminati ramai, malah berjaya menjuarai carta di beberapa buah stesen radio tempatan.

“Sebelum album keluar saya ingatkan konsep kumpulan Ways ini pop rock atau pun rock kapak, tetapi Saari nak buat satu kelainan iaitu perkenalkan konsep country dan western. Sebab Itulah dress up kami macam koboi.

“Tapi bila dengar lagu kami macam-macam konsep yang ada sebenarnya. Slow rock, pop, balada, pendek kata carca marba juga.” katanya tertawa.

Bersama kumpulan Ways, dia berjaya melahirkan tiga buah album iaitu Ways (1993), Hala Ke Impian (1994) dan 3rd Series (1998). Walaupun barisan anggota bersilih ganti, namun lagu-lagu kumpulan ini tetap mendapat sambutan peminat terutamanya lagu Seiras, Bertemu Tak Bersatu dan Warkah Untuk Kekasih.

“Itu bukan lagu saya, itu lagu orang lain…”

PADA tahun 2000, komposer Nan Dengkil menawarkan peluang untuknya merakamkan album solo. Rilisan tersebut sekaligus melonjakkan namanya apabila lagu Keranamu Suhaila menjadi hits dan memikat hati peminat.

Melihat diri masih berpotensi, beberapa buah album solo dan kompilasi mula diterbitkan dan hasilnya lagu-lagunya seperti Abang Zaidi, Apa Khabar Su? dan Lenggang Musalmah berjaya meletakkan namanya sebaris dengan artis-artis popular ketika itu.

Sebagai penghibur yang merentasi pelbagai zaman, dia tidak terlepas dari melalui pelbagai pengalaman suka dan duka. Antara yang sering dihadapinya apabila ramai peminat yang salah faham berkenaan dirinya dengan salah seorang penghibur lain.

“Yang ini pun kelakar juga apabila peminat sering confuse saya dengan penyanyi Aan. Kadang-kadang tu bila buat show ada peminat yang request minta saya nyanyi lagu Cinta Melankolia. Saya kata itu bukan lagu saya, itu penyanyi lain. Kebetulan sahaja nama kami sama.

“Sampaikan pada hari Allahyarham Aan meninggal dunia, isteri saya dihujani banyak panggilan telefon yang merakamkan ucapan takziah,” katanya.

Tidak pernah melatah mahupun berkecil hati, dia menjelaskan apa yang berlaku
adalah asam garam kehidupan. Sedikit pun semangatnya tidak pernah luntur dan
terhakis malah sentiasa percaya rezeki itu tetap hadir jika ada usaha keras yang dilakukan.

“Pernah ketika saya mengadakan show di Sabah, ramai peminat naik ke atas pentas dan beri saya wang. Ada yang kasi RM10, RM20, Pada mulanya saya agak terkejut
juga, tetapi saya fikir mungkin itu cara mereka menghargai kita sebagai penghibur. Malam itu juga rasanya saya dapat kumpul hampir RM300 juga dari penonton.

“Bercerita tentang kenangan pahit pula ada satu peristiwa yang saya tidak akan lupa.
Waktu itu pada tahun 2001 ketika buat persembahan di Dataran Merdeka bersama artis popular tanah air antaranya M.Nasir, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah. Ketika saya menyampaikan lagu Keranamu Suhaila, penerbit program suruh hentikan persembahan serta merta kerana penonton di belakang telah merempuh pagar di hadapan sehingga mengakibatkan beberapa orang penonton pengsan,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya