Tidak kisah dikritik untuk maju - Utusan Malaysia

Tidak kisah dikritik untuk maju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kumpulan Meteorix yang dianggotai Ijan (pemain bass), Ikhwan (vokalis), Amir (pemain keyboard) dan Jai (pemain drum) ditubuhkan pada hujung 2019 dengan matlamat untuk membawa muzik ke arah yang lebih tinggi, eksperimentasi dengan muzik serta belajar untuk menghiburkan dan menghiasi dunia muzik tanah air.

Selain itu, Meteorix juga mempunyai impian untuk menempatkan diri dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) dengan berkongsi karyanya yang bergenre pop alternatif.

“Impian Meteorix adalah untuk membuat persembahan di AJL selain memenangi anugerah tersebut. Sebelum ini, kami sudah pernah membuat persembahan di gig-gig dan tempat awam yang lain. Kini, kami ingin merasa membuat persembahan di AJL.

“Kami ingin kongsikan karya-karya kami terutamanya di seluruh Malaysia. Kami juga tidak takut serta suka dikritik sekiranya lagu-lagu kami perlu penambahbaikan,” kata Ijan selaku ketua kumpulan Meteorix.

Ijan memberitahu, penubuhan kumpulan tersebut sebenarnya tidak dirancang, namun keserasian dan hubungan baik yang dijalinkan telah mendorong mereka untuk mengejar impian itu bersama-sama.

“Dengan bantuan penerbit DMO Studio dan label rakaman Universal Music Malaysia, kami telah berjaya mengeluarkan single berjudul Bidadari yang dilancarkan pada 30 Julai lalu.

“Baru-baru ini, kami juga telah mengeluarkan lagu bertajuk Murai pada 3 September di semua platform digital. Semua muzik yang telah dikeluarkan juga boleh didengari di laman YouTube Universal Music Malaysia,” katanya yang berusia 35 tahun itu.

Mengulas mengenai cabaran Meteorix menapak dalam dunia seni ini, Ijan berkata, antara cabaran terbesar mereka adalah pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia ini.

Memandangkan mereka ditubuhkan ketika wabak Covid-19 itu mula menular, pelbagai aktiviti yang dirancang oleh kumpulan terpaksa ditunda.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan merupakan cabaran yang besar buat kami kerana kami masih baru.

“Pergerakan kami terbatas sekaligus melambatkan proses ciptaan dan penerbitan lagu-lagu kami. Ia turut menyukarkan kami untuk berkumpul dan berkongsi idea-idea yang segar.

“Namun begitu, kami tetap bersyukur kerana mempunyai penerbit dan label rakaman yang sentiasa membantu dan menyokong kami dalam tempoh yang mencabar ini,” jelas Ijan.

Pada masa hadapan, Meteorix merancang untuk menggunakan masa yang mereka ada sekarang untuk mengeluarkan sebuah album yang merangkumi kira-kira lima atau enam buah lagu.

Ijan memberitahu, kumpulan itu menyasarkan untuk menyiapkan lagu-lagu tersebut pada tahun ini. Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada keadaan semasa yang tidak menentu.

Sebelum ini, Meteorix turut merancang untuk melakukan jelajah muzik di Johor dan dan Melaka. Namun, keadaan tidak mengizinkan mereka meneruskan keinginan itu.

Kini, mereka masih sedang menunggu sekiranya berpeluang untuk menikmati dan memainkan muziknya seperti sebelum wujudnya wabak itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya