PETALING JAYA: Pelawak dan penyampai radio terkenal, Johan Raja Lawak memaklumkan isterinya yang juga merupakan pelakon, Ozlynn Wati telah selamat melahirkan cahaya mata mereka yang keenam, baru-baru ini.
Menerusi entri Instagram, dia berkongsi berita gembira tersebut menerusi satu hantaran video yang dimuat naiknya.
Dalam pada itu, Johan menzahirkan penghargaan buat semua pihak yang tidak lekang mendoakan kesejahteraan isteri dan bayinya tersebut.
“Syukur Alhamdulillah, Ramai yang tertanya-tanya tentang kelahiran bayi saya. Ozlynn telah selamat melahirkan anak keenam kami.
“Terima kasih pada yang mendoakan, tidak putus-putus terima mesej ucapan tahniah. Nanti kita belanja muka baby okey. Tahu-tahu bersalin.
“Seterusnya, nanti apa-apa akan memberitahu perkembangan di saluran Youtube saya,” kongsinya di Instagram.
Pasangan selebriti tersebut telah menyambut kelahiran cahaya mata keenam mereka pada Jumaat lepas.
Perkhabaran tersebut memberi reaksi terhadap semua warganet setelah dikejutkan dengan berita gembira itu memandangkan Ozlynn tidak pernah berkongsi yang dia sedang hamil.