KUALA LUMPUR: Pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid atas jemputan mereka ke kediamannya.
Menurut pemenang pingat perak di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 ini, pasangan suami isteri itu merupakan die-hard fan (peminat tegar) sukan berbasikal malah aktif berkayuh dan masuk perlumbaan.
“Alhamdulillah syukur, terima kasih kerana menjemput saya dan sangatlah berbesar hati kerana akhirnya dapat bertemu kembali selepas kali terakhir berjumpa di Melbourne dulu.
“Saya sangat terkesima melihat koleksi-koleksi basikal mereka. Paling saya terpaku adalah koleksi basikal antik yang memang susah nak dapat. Masa berada di galeri itu, saya tengok satu persatu secara terperinci dan seolah-olah ada alunan mozart mengiringi saya. Kagum.
“Terima kasih kepada Datuk K dan Datuk CT kerana mengikuti dan menyokong perjalanan karier saya serta juga layanan istimewa ketika berkunjung ke rumah,” luahnya.
Dalam perkongsian sama Azizul memanjatkan doa buat keluarga penyanyi Dirgahayu itu dan berharap semoga silaturahim antara mereka akan terjalin erat selamanya.
“Insya-Allah kekgi kite gateh skali deh, kite pakak kabak Genting Perez,” seloroh Azizul dialek negeri Terengganu.
Menerusi hantaran itu, pelumba basikal trek negara yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman ini turut memuji air tangan Tok Ti.
“Memang tidak dinafikan, satu Malaysia memang sayangkan Siti Nurhaliza termasuklah saya serta seluruh keluarga. Anak-anak saya suka sangat dekat Aafiyah @aafiyahkhalid. Jadi saya buat video call dan mereka bersembang secara virtual.
“Saya baru tahu, Siti Nurhaliza ini bukan hebat menyanyi saja, memasak pun boleh tahan juga. Banyak hidangan yang disediakan sendiri oleh Siti Nurhaliza dan semuanya sedap-sedap belaka. Tetapi cucur Datuk CT memang terbaik, saya makan sampai menyanyi lagu Percayalah,” coretnya berseloroh.