KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Azizul Ammar mendedahkan dia tidak pernah terlintas di fikirannya akan diberikan watak paling mencabar di sepanjang kariernya.
Jelas Ammar atau nama sebenarnya Azizul Ammar Abu Hassan, 33, watak tersebut memainkan emosi berat dan karakter yang sangat pentingkan diri sendiri.
“Tidak pernah detik di akal aku akan diberi watak sebangsat ini. Jujur aku penat bawa emosi watak ini. Watak yang pentingkan diri sendiri, menggunakan orang lain untuk kepentingan diri, apa yang dia nak, dia dapat tidak kira apa cara pun.
“Segala emosi yang aku letak dalam watak Syakirin ini berdasarkan pemerhatian perangai bangsat manusia yang aku jumpa dalam hidup aku,” luahnya di Instagram.
Selain itu, tuntutan watak berkenaan memerlukan pelakon tersebut berkebolehan berlawan. Justeru, Ammar berterima kasih kepada individu yang banyak membantunya dalam menghidupkan aksi bagi naskhah yang sedang dijalankan.
“Permintaan untuk watak berkenaan ada kebolehan untuk berlawan. Alhamdulillah terima kasih kepada @mericanmuaythai @saifulmerican @dziantimerican @bakrirusli11 untuk segala ilmu Muay Thai, aku gunakan dalam karya ini.
“Terima kasih untuk latihan dari rumah @mohdalsyakirin untuk pastikan sekurang-kurangnya aku kekalkan apa yang ada. Menariknya, watak tersebut belajar dengan Syakirin pada realitinya,” kata Ammar dengan bergurau.
Sementara itu, Ammar juga berpesan kepada orang ramai supaya bangkit dan jangan tunduk pada sikap manusia yang negatif.
“Kalau jahat manusia adalah bentuk penindasan, bangkit dan lawan! Jangan tunduk! Biar kalah dengan melawan, bermakna anda menang dengan mencuba!,” katanya tegas.