KUALA LUMPUR : Sutradara dan penyanyi terkenal, Mawi, 38, sedar ramai mengklasifikasikan filem-filem arahannya sebelum ini sebagai naskah berbentuk dakwah namun hal itu baginya tidak tepat secara keseluruhannya.
Menurut Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, setakat ini, beberapa naskah filem yang dihasilkan cenderung kepada komedi namun menerusi jalan penceritaan, mesej agama diselitkan mengikut kesesuaian.
“Saya buat saja pengisian agama contohnya macam dalam filem Tiada Tajuk itu. Ia sebenarnya filem komedi. Tapi tetap saya selitkan mesej agama. Saya melihat, adakalanya kita kena tahu apa yang kita mahu sampaikan.
“Kalau dilihat, saya cenderung kepada unsur satira yang boleh dikatakan sebagai identiti filem yang dihasilkan. Kena ada juga, kalau tidak, saya bagai tidak puas berkarya. Satu lagi, orang selalu ingat saya buat filem dakwah.
“Saya tak pernah kata saya buat filem dakwah,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mawi lagi, sekiranya penonton dapat melihat, menyerap dan menilai sesebuah naskah yang dihasilkan olehnya dari perspektif dakwah, maka ia dianggap satu bonus buatnya.
“Saya suka sampaikan sesebuah mesej itu secara bersahaja dan perli. Sesiapa yang dapat isinya, dapatlah. Bermakna, bukan secara terpaksa.
“Bagi saya, satu yang bagusnya tentang platform dunia perfileman ini, kita berpeluang untuk kongsikan mesej dalam bentuk cerita. Kalau saya tak kongsikan atau selitkan, rugilah.
“Cuma ia dilakukan dalam nampak tak nampak. Bersahaja,”katanya.
Dalam pada itu, kongsi Mawi, dia kini sedang menghasilkan filem komedi seram berjudul Hantu Kuat Ketawa yang akan membariskan pelakon seperti Apek, Along serta dirinya sendiri.
Selain itu, filem terbitan Mawi World Entertainment itu turut dibintangi Syanie, Zarina Anjoulie, Zalif Sidek dan ramai lagi.