KUALA LUMPUR : Dalam tempoh pandemik yang tiada berkesudahan ini, ramai peniaga dan usahawan terjejas sehingga ada yang terpaksa membuat keputusan ralat, membungkus sahaja perniagaan mereka kerana tidak mampu menanggung risiko.
Namun, lain pula yang terjadi kepada usahawan Syukor Majid, 33, apabila percubaannya menjual burger telah mencipta fenomena tersendiri apabila jualannya laku keras dengan mencatatkan sejuta biji sejak Ogos lalu.
“Saya rasa macam mimpi angka 1 juta itu berjaya dicapai. Maklumlah kami baru saja memulakan perniagaan ini sembilan bulan lalu menerusi jenama Syukor Burger. Tapi tak ada yang mustahil dalam dunia ini. Kita berusaha, pasti Tuhan buka jalan.
“Rasa nak menangis apabila usaha berbulan-bulan membuahkan hasil. Niat saya nak bantu buka peluang kerja kerana saat ini ramai yang terputus rezeki dan hilang sumber pendapatan.
“Sebagai usahawan tegar sejak tahun 2010, saya cuba tawarkan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada mereka yang terkesan. Saya bukan wakil rakyat atau jauh sekali ahli politik, tapi saya nak bantu mereka yang bergelut,” katanya.
Terdahulu, Syukor pernah mencetuskan kontroversi apabila tular kisah kereta Mustang berwarna merah dipandu isterinya yang ‘terbang’ menyeberangi parit di Bertam, Pulau Pinang tahun lalu.
“Kali ini saya bukan tular fasal kereta, tapi jualan burger pula. Lepas ini tak tahu tular apa pula.
“Ikutkan waktu pandemik ini perniagaan sedia ada saya masih okey, tapi harus diakui bisnes ‘offline’ sedikit merudum. Produk saya dalam pasar raya, farmasi dan restoran semua ‘drop’, maklumlah kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mujur bisnes dalam talian naik 300 peratus. Jadi, tak terkesan sangat, malah lebih bagus dari sebelum datangnya pandemik COVID-19.Kilang makanan dan minuman masih mampu beroperasi seperti biasa. Lebih utama, tiada pekerja yang dibuang. Syukur Alhamdulillah,” katanya.
Dalam pada itu, mengimbas kembali mengenai percubaan memasuki dunia perniagaan burger, anak kelahiran Pulau Mutiara ini gemar mencabar diri.
“Segala-galanya bermula apabila tular berita kadar pengangguran naik mendadak akibat pandemik. Terdetik di hati untuk membantu mereka yang tersepit.
“Sekitar sembilan bulan lalu, pada jam 4 pagi, datang satu ilham untuk berniaga rangkaian burger. Sejam selepas itu, saya mesej pembantu peribadi dan arahkan pasukan kerja untuk hadir mesyuarat tergempar beberapa jam selepas itu. Saya memang tak sempat tidur pun ketika itu.
“Pengetahuan tentang burger masa itu memang ‘zero’. Dalam masa yang betul-betul singkat, kami belajar buat semua, roti, ‘patty’, sos dan mayonis. Alhamdulillah sekarang sebut apa saja jenis burger pun kami sudah pandai buat,” katanya
Selain itu, Syukor sedar saat ini, ramai yang terhimpit dengan pelbagai masalah dan tekanan. Namun dia bersedia menawarkan peluang perniagaan dan terharu kerana sambutan setakat ini cukup menggalakkan.
“Malah ramai yang sanggup membayar ribuan ringgit untuk buka francais Syukor Burger. Tapi saya terpaksa tangguh sementara idea membuka francais kerana belum bersedia.
“Saya nak fokus bantu mereka yang tersepit ini dahulu. Sebab dari awal niat nak bantu mereka yang tak ada kerja sekali gus membimbing mereka jadi usahawan sebenar,”katanya.