PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Ozlynn Wati tampil mendedahkan nama cahaya mata keenamnya sebagai Nur Latifah Cherdiq Hanania yang kini sudah berusia 21 hari.
Menerusi entri Instagram, Ozlynn memuat naik beberapa keping gambar yang memaparkan jari jemari bayinya itu.
Menurut isteri kepada pelawak dan penyampai radio popular, Johan, dia memaklumkan nama indah tersebut disimpannya sudah tujuh tahun untuk diberikan kepada bayi yang bakal dilahirkan.
Selanjutnya, dia menitipkan kesyukuran terhadap Ilahi atas kurniaan cahaya mata keenam yang diperolehinya.
“Alhamdulillah, genap 21 hari lahirnya Nur Latifah Cherdiq Hanania di hari Jumaat yang indah, pada 3 September lepas. Nama yang telah disimpan tujuh tahun dahulu, akhirnya dapat juga kepada pemilik sebenar.
“Syukur kepada Allah kami diberikan peluang merasa nikmat sekali lagi. Sekali lagi, bermata panda di malam hari. Berebut siapa nak bergendong bayi.
“Tiga putera dan tiga puteri, akhirnya suami kata okey cukup setakat ini,” tulisnya di Instagram.
Dalam pada itu, Ozlynn turut meniupkan semangat dan menitipkan doa buat pasangan diluar sana yang masih belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata, agar tidak berputus asa dan dipermudahkan.
“Kepada kesayangan kami yang masih belum punya rezeki, jangan putus asa. Sentiasa bersangka baik kepada Allah. Kadang kala tanpa kita sedar, ada nikmat lain yang Allah berikan.
“Tapi tetap kami mendoakan untuk kalian supaya Allahh memberikan peluang untuk kalian merasa nikmat hamil, melahirkan serta membesarkan anak sendiri.
“Semoga ada rezeki kalian, ketahuilah tiada apa yang senang dalam dunia ini. Membesarkan setiap anak juga ada ujiannya. Semoga kita semua sentiasa bersyukur atas nikmat dan ujian Allah,” katanya.