KUALA LUMPUR : Penyanyi dan selebriti serba boleh, Shiha Zikir, 33, mengaku sukar mengikis perasaan sebak ketika menerima satu hantaran mesej daripada penyanyi senior bertaraf legenda, Salamiah Hassan, yang memuji personaliti dirinya.
Menerusi mesej ringkas tersebut, Salamiah yang terkenal dengan lagu Gelombang dan Surat Terakhir menyatakan rasa kagumnya terhadap Shiha yang disifatkan berbakat dalam apa sahaja yang dilakukan.
“Apa yang saya sukakan tentang awak ialah, awak tidak peduli dengan apa yang orang kata. Awak buat saja apa yang awak nak buat dan membuktikan yang memang berbakat dan bagus di dalamnya,”kata Salamiah.
Menurut Shiha, kata-kata itu membuatkannya sebak terutama apabila mengenangkan ia merupakan daripada seorang penyanyi yang sangat dihormatinya.
“Pengalaman dan kepercayaan adalah sesuatu yang tak boleh dijual beli. Nyanyian, lakonan, pengacaraan, komedi tapi tak kelakar pun, dah saya cuba.
“Sekarang, peluang untuk saya timba ilmu yang baharu. Tak akan saya sia-siakan. Ramai yang tanya, ‘sampai bila untuk saya jadi penyampai radio?’ Saya hanya mampu jawab, saya bukan penyampai tetap.
“Hanya terima cabaran daripada stesen radio Era FM sementara waktu ini dan saya cuma buat semampunya. Sudah pasti saya sangat hargai setiap kepercayaan yang diberikan,”katanya.
Shiha berkata demikian dalam satu hantaran di akaun Instagramnya semalam.
Selain itu, Shiha juga memohon maaf sekiranya ramai melihat dirinya masih banyak kekurangan namun mengaku suka untuk belajar sesuatu yang baharu.
Dalam pada itu, Shiha juga menitipkan kata nasihat kepada pengikutnya di media sosial agar tidak menyekat impian diri.
“Nasihat saya kepada yang nak meneroka bidang yang anda sukai, tolong jangan sekat impian atau keinginan anda sebab kata-kata negatif daripada orang lain.
“Tetapkan niat yang betul, jaga ibu bapa dan keluarga anda dengan baik dan lain-lain. InsyaAllah, niat yang baik akan dipemudahkan. Yang paling penting, jangan iri hati dengan sesiapa pun,” katanya.
Pada tanggal 6 September lalu, Shiha telah dipilih oleh pengurusan radio Era FM untuk mengendalikan segmen Petang Era bersama dua lagi penyampai radio tersebut iaitu Radin dan Danial Zain.
Celoteh dan telatah Shiha dapat didengari dan disaksikan pada setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 4 petang hingga 8 malam dengan pilihan lagu yang santai serta pengisian yang menarik.