KUALA LUMPUR : Barangkali bersimpati dengan nasib yang menimpa adik Nur Sajat, Nur Mustika, aktres dan penyanyi, Diana Danielle, 30, cuba memberikan nasihat kepada wanita tersebut agar mengambil tempoh bertenang buat beberapa hari.
Menurut Diana, ini kerana sekiranya Mustika terus-menerus memberi sebarang kenyataan berhubung Sajat ketika keadaan masih ‘panas’, ia dikhuatiri lebih memburukkan.
“Selamat datang ke dunia artis putaran belitan. Sebenarnya, awak perlu bertenang. Tulis sahaja satu kenyataan rasmi di Instagram bagi menjelaskan keadaan. Ringkas sahaja dan bertenang buat beberapa hari.
“Isu lain akan naik dan orang tak akan ingat lama-lama. Yang buat ingat itu, kalau kita duduk panjangkan. Tajuk berita akan selamanya lari daripada isi, pembaca pun faham sangat dah.
“Sebab itulah saya tidak suka beri kenyataan semasa benda sedang panas sebab lagi memburukkan keadaan,” katanya semasa meninggalkan komen di akaun Mustika semalam.
Terdahulu, Mustika telah memuat naik satu penjelasan berbentuk penafian dengan mendakwa kenyataan yang diberikan kepada sebuah akhbar tempatan mengenai abangnya telah disalah ertikan.
Ia merujuk kepada ayat ‘berilah dia satu peluang’ yang dipaparkan di akhbar tersebut yang baginya telah disalah tafsir.
Menurut Mustika, ayat sebenar yang disampaikan berbunyi ‘semoga dia berkesempatan diberi peluang untuk perbetulkan apa yang salah’.
Menerusi tinjauan di ruangan komen, Mustika juga ada menjelaskan kepada warganet dan pengikutnya berhubung kesilapan tersebut selain memohon agar semua mendoakan yang terbaik.
Selain Diana, komposer dan anggota kumpulan V.E, Damian Mikhail, juga ada meninggalkan komen pada hantaran Mustika itu di Instagram.
“Semoga dipermudahkan urusan dan diberikan keadilan. Saya sendiri tahu pendirian kamu. Memang kamu tidak sokong Sajat.
“Mudah-mudahan pihak bertanggungjawab buat pembetulan,”katanya.