PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Datin Almy Nadia memberitahu suami tercintanya yang juga merupakan pelakon popular, Datuk Fizz Fairuz sedang menerima rawatan di hospital akibat penyakit angin gastrik.
Menerusi entri Instagram, Almy memuat naik gambar dan video yang memaparkan suaminya sedang baring berehat di atas katil hospital untuk menerima rawatan lanjutan.
Menurut Almy, dia mendedahkan hampir dua minggu jadual pemakanan Fizz terganggu akibat asid bahagian perutnya semakin meningkat.
“Hari ini sekali lagi dia dipaksa oleh isteri datang ke hospital untuk acara serah diri disebabkan angin gastrik.
“Doktor cakap gastrik dia banyak kerana sudah hampir dua minggu tidak makan disebabkan asid dalam perut.
“Sekarang acara drip, masuk ubat bagi dia okey. lepas ini kena makan betul-betul. Doakan suami saya cepat sembuh. Saya sentiasa ada dengan awak okey sayang,” kongsinya di Instagram.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapat, rata-rata pengikutnya dan rakan artis menitipkan doa buat suaminya agar kembali sembuh seperti sedia kala.