JAKARTA: Pelakon filem Bisikan Arwah Mantan, Angel Lelga, memohon orang ramai berhenti mengaitkan dirinya dengan bekas suami, Vicky Prasetyo yang terbukti bersalah memfitnah dan mencemar nama baik bekas isterinya itu.
Lapor portal liputan6, Angel mengaku dia berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan berharap isu antara dia dan pengacara itu tidak lagi dipanjang-panjangkan.
“Saya tidak berniat untuk memenjarakannya. Saya hanya mahu dia dibuktikan bersalah dan menerima pengadilan sewajarnya,” katanya ketika ditemu bual saluran Youtube, Star Story baru-baru ini.
Mahkamah Jakarta Selatan pada Khamis lalu menjatuhkan hukuman empat bulan penjara terhadap Vicky atau nama sebenarnya Hendrianto.
Vicky Sebelum ini dilaporkan menyerang Angel dan memfitnah bekas isterinya itu berzina dengan aktor, Fiki Alman.
Dalam pada itu, Angel enggan memberi sebarang komen jika pihak Vicky tidak berpuas hati dan merancang mengambil tindakan balas terhadapnya.
“Tiada komen. Itu di luar bidang kuasa saya.
“Negara memberikan hak. Mereka mahu ambil tindakan atau tidak itu bukan lagi urusan saya. Yang penting dia sudah terbukti bersalah,” katanya lagi.