KUALA LUMPUR: Selebriti dan usahawan berjaya, Neelofa mencadangkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar mewujudkan foto pada sijil vaksinasi penerima.
Menurut Neelofa, foto penerima perlu dipamerkan bagi mengelakkan penyamaran dan penipuan oleh individu yang belum divaksin.
“Cadang untuk letakkan juga profil gambar di sijil… sebab ramai yang tidak jujur,” cadang Neelofa di InstaStory miliknya dengan mengulang siar semula makluman KPDNHEP berkenaan.
Terdahulu, makluman tersebut dikeluarkan oleh KPDNHEP sebagai peringatan mesra kepada orang ramai termasuk peniaga.
Para pengusaha perlu memastikan setiap pelanggan dibenarkan memasuki premis jualan setelah menunjukkan bukti kad atau sijil digital vaksinasi lengkap dari aplikasi MySejahtera dan bukannya tangkap layar.
Langkah selamat itu bagaimanapun tertakluk kepada negeri-negeri Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).