Promosi kalis silu: Kencang poket, kencang dosa? - Utusan Malaysia

Promosi kalis silu: Kencang poket, kencang dosa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN sekali dua isu ini diperdebatkan, namun masih ada segelintir penggiat seni yang tetap mempromosikan produk yang kurang manis untuk dipertontonkan. Dari sisi berbeza, itu mungkin salah satu sumber pendapatan.

Di kala pandemik ini, ada segelintir artis main sauk sahaja tawaran asalkan mendatangkan hasil. Namun, maruah dan nama baik dipertaruhkan. Apatah lagi, produk yang dipromosi tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Produk ubat kuat, besarkan payu dara dan pelbagai produk rapat merapat membanjiri garis masa media sosial hasil promosi selebriti kita. Maka, jabatan netizen segera buat kerja. Mengecam dan menghina golongan penggiat seni.

Pancaindera minggu ini mendapatkan pandangan beberapa penggiat seni tentang isu ini.

Berfikiran terbuka, berpada-pada – Azwan Kombos

TIDAK dinafikan golongan selebriti sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi pengikut mereka terutamanya peminat tegar.

Katakanlah apa pun, khalayak pasti ‘termakan’ dengan pujuk rayu selebriti dalam mempromosikan sesuatu produk atau pun khidmat yang diiklankan menerusi akaun media sosial mereka.

Cuma, kadang-kadang produk atau perkhidmatan yang diiklankan itu agak mengundang provokasi.

Justeru, Pancaindera mendapatkan pelakon Azwan Kombos yang sebelum ini pernah mempromosikan iklan “cuci mata”.

Jelasnya ketika dihubungi, selebriti sebenarnya hanya mencari pendapatan sampingan dengan memberi ulasan produk berkenaan.

Tetapi tidak berlebih-lebihan, sebagai contoh, memaparkan gambar yang kurang sesuai.

“Kita sudah berada di tahun 2021, jadi kenalah lebih terbuka sebenarnya. Selagi tidak memudaratkan akhlak kepada masyarakat, hal itu tidak mengapalah.

“Sebagai pempengaruh, selebriti dan artis, kena ada panduan supaya tidak mencetuskan provokasi seperti iklan yang secara terang-terangan menunjuk pada bahagian yang tidak sepatutnya.

“Saya dulu pun pernah promosi produk sebegitu sampaikan tular. Mana tidak, masih ramai yang bersikap tidak terbuka,” tuturnya.

Tambah pelakon Cinta Yang Pulang itu, apalah salahnya jika dalam masa sama dapat membantu peniaga lain cari makan.

“Kalau tidak promosi macam mana orang nak tahu kan? Bila tidak tahu, macam mana nak ada pembeli.

“Secara tidak langsung kita bantu para peniaga untuk menjana pendapatan. Cuma jangan tunjuk gambar bukan-bukan dan berpada-padalah juga,” katanya.

Bukan salah produk, tetapi cara promosi – Syatilla Melvin

Akui pernah mendapat tawaran mempromosikan iklan ubat kuat dan sewaktu dengannya pada masa lampau, pelakon dan usahawan terkenal, Syatilla Melvin tampil berkongsi nasihat buat segelintir artis dan pengasas yang rancak promosikan produk berkenaan di platform media sosial mereka.

Pelakon drama popular Istidraj Cinta ini menasihatkan agar golongan ini mementingkan keberkatan dalam apa jua jenis perniagaan.

“Saya pernah dapat tawaran untuk mempromosi iklan seperti ubat kuat dan sebagainya. Saya rasa produk itu bukanlah satu kesalahan besar, produk itu langsung tidak salah pun.

“Tetapi yang salahnya adalah bagaimana cara promosikan produk itu. Tidak semestinya menjual produk berkenaan perlu menunjuk bahagian sulit kepada khalayak ramai.

“Kadang kala kita perlu kembali kepada asas. Saya mementingkan keberkatan dalam perniagaan kerana kita tahu jika ia hilang, apa yang dibuat adalah sia-sia,” tuturnya kepada Pancaindera.

Menerusi pengalaman lepas, dia tidak lari daripada membuat kesilapan sehingga memberi impak terhadap kehidupannya.

Oleh hal demikian, usahawan itu sekali lagi menitipkan nasihat agar para artis dan pengasas haruslah mempunyai sensitiviti dan menjaga maruah diri daripada tercalar akibat hanya mempromosi produk sedemikian.

“Nasihat saya kepada pengasas di luar sana yang berniaga produk-produk ini, kita perlu menjaga sensitiviti, menjaga maruah diri sendiri serta keberkataan.

“Banyak lagi cara yang boleh dilakukan, berjaya juga. Saya sudah melalui perkara tersebut. Saya sudah membuat silap. Bukan sekadar cakap kosong, ini kerana pengalaman saya yang pernah buat silap.

“Tidak perlulah pemasaran yang nak menjatuhkan maruah kita. Kalau anda terlalu hendak mendedahkan sana sini, ia salah satu punca yang akan mendapat impak yang sangat tidak baik jika bukan sekarang, pada masa akan datang,” ujarnya.

Tanya apa niat dan prinsip diri? – Shiha Zikir

Sangat matang dalam memberikan jawapan bernas, penyanyi dan pelakon, Shiha, pula menganggap perbuatan seperti itu harusnya dilihat kepada apakah niat dan prinsip seseorang artis atau selebriti terbabit.

Ini kerana baginya, jika seseorang itu berpegang pada prinsip diri untuk tidak menerima tawaran seperti itu, maka meski ditawarkan dengan harga yang tinggi sekali pun dia tetap dengan pendiriannya.

“Memang serba salah nak komen tapi lihat pada apa niat dan prinsip mereka. Macam saya, dari dulu lagi memang tak akan buat promosi benda macam itu walaupun secara peribadi pernah ada pihak meminta saya untuk promosi sebegitu.

“Apatah lagi, kebanyakan iklan produk sebegitu, videonya agak tak sesuai untuk dipaparkan secara umum.Kalau nak kata ia berkaitan pendedahan, kita adakalanya susah nak kesan yang menonton video dalam media sosial itu benar-benar berusia atas 18 tahun atau tidak?” katanya.

Selain itu, Shiha lebih bersetuju jika seseorang yang mempunyai masalah pada bahagian intim masing-masing atau yang berkaitan untuk bertemu dan mendapatkan khidmat pakar di hospital dan sebagainya.

“Saya faham ada orang perlukan solusi untuk masalah sebegitu. Namun nasihat saya, dapatkan nasihat dan solusi daripada pakar. Sebab ada kala, yang nampak tak elok itu disebabkan video yang dipromosikan itu.

“Bagi saya, tak payahlah muat naik video promosi begitu.Ada banyak lagi cabang promosi yang lebih tertib orang kata,” katanya.

Saya sangat berhati-hati – Ayu Damit

Penyanyi hebat, Ayu Damit, 32, mengakui amat berhati-hati dan teliti sebelum menerima tawaran untuk mempromosikan mana-mana produk di media sosialnya.

Kata empunya nama sebenar Norayu Damit ini, dia ingin mengelakkan daripada dipersalahkan sekiranya produk yang dipromosikan itu tidak memberi kesan atau membawa mudarat kepada pengguna lain.

“Sebelum mempromosikan satu-satu produk itu, saya akan semak terlebih dahulu pengalaman-pengalaman pengguna yang pernah menggunakan produk tersebut. Selain itu, saya akan pastikan produk berkenaan mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ini kerana, produk yang kita promosikan itu kemungkinan akan dibeli dan digunakan oleh orang lain. Jadi, jika kita promosikan produk berbahaya, kita akan dipersalahkan kemudian hari.

“Jadi saya sangat berhati-hati dan tidak menerima begitu sahaja tawaran untuk mempromosikan produk. Jika terima pun, saya akan gunakan dahulu produk tersebut sebelum mempromosikannya dalam media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Ayu menegaskan dia menolak untuk mempromosikan produk-produk yang sensitif dan tidak sesuai diuar-uarkan kepada khalayak ramai.

Jelasnya, dia tidak mahu membawa pengaruh yang buruk kepada orang awam lebih-lebih anak-anaknya yang kini mudah menggunakan Internet dan media sosial.

“Saya ada keluarga. Kalau ikutkan, boleh sahaja kita tolak tepi pandangan masyarakat. Tetapi, saya sentiasa ingat bahawa anak-anak saya membesar dengan kemudahan Internet. Malah mereka lebih ke depan.

“Satu hari nanti mereka akan menonton video kita mempromosikan produk-produk jenis itu. Saya ingin elakkan menjadi pengaruh buruk kepada anak-anak saya,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya