Muhammad Aizuddin Madani lebih selesa dan suka meluahkan perasaan cinta terhadap kekasih hatinya menerusi lagu-lagu ciptaannya disebabkan dia seorang yang pemalu.
Penyanyi ini berkata, single pertamanya yang dikeluarkan pada awal 2020 berjudul Bidadari sebenarnya dalam diam berkisahkan tentang kekasihnya.
“Bidadari menceritakan tentang seorang lelaki pemalu yang tidak tahu bagaimana ingin meluahkan perasaannya.
“Lagu tersebut dicipta khususnya untuk perempuan yang saya cinta. Menerusi lagu itu, saya meluahkan perasaan sayang dan penghargaan kepadanya kerana dia antara orang yang sentiasa menyokong saya,” katanya yang berusia 26 tahun itu.
Selain mengeluarkan single tersebut, anak kelahiran Sabah ini juga mengeluarkan album perdananya yang bertajuk Kolaj pada tahun lalu.
Walaupun mempunyai minat dalam bidang muzik, Aizuddin akui fokus utamanya adalah untuk meneruskan kerjayanya sebagai seorang guru.
Katanya, muzik adalah salah satu caranya untuk mengurangkan tekanan hidup dan mencari ketenangan.
“Sejak di bangku sekolah saya memang suka menulis lagu. Saya juga mula menyanyi seawal usia 5 tahun.
“Sokongan yang diterima daripada keluarga dan rakan-rakan mendorong saya untuk meneruskan minat dan hobi itu walaupun mempunyai pekerjaan tetap sebagai seorang guru,” kata artis bebas (independent) ini.
Baru-baru ini, Aizuddin melancarkan beberapa lagu dalam bahasa Inggeris berjudul Sunflower, Can We dan You.
Dia akui, setakat ini, kebanyakan lagu yang dicipta mengisahkan tentang cinta. Katanya lagi, lagu-lagu tersebut akan dimuatkan dalam album keduanya yang dijangka dilancarkan pada Oktober ini.
Bercakap mengenai pengalaman manisnya dalam industri, Aizuddin memberitahu, antara momen yang tidak dapat dilupakan adalah apabila lagu Bidadari dan Andai,Tentang, Maaf tersenarai dalam senarai pendek 200 lagu terbaik Anugerah Lagu Indie (ALI) 2020.
“Waktu itu, lagu-lagu tersebut baru sahaja saya keluarkan. Jadi, memang tidak sangka ia akan tersenarai secepat itu.
“Walaupun hanya tersenarai, ia adalah salah satu kenangan manis selain menganggap ini sebagai pendedahan yang baik buat saya,” jelas anak kedua daripada empat beradik itu.
Menyedari ramai yang menerima muzik ciptaannya, dia menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan minatnya itu dengan mencipta lebih banyak lagu bergenre pop dan alternatif rock.
Dia berharap, album terbaharunya yang bertajuk Let’s Begin dan diisi dengan 10 lagu itu akan mendapat sambutan baik dan diterima semua pendengar muzik setelah dilancarkan pada bulan depan.
Tambahnya, dia juga terbuka untuk berkolaborasi dengan mana-mana artis bagi menghasilkan lebih banyak karya menarik.