PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Zahiril Adzim memohon jasa baik orang ramai dan pengikutnya bersama-sama membantu menghulurkan sumbangan bagi menampung kos rawatan pelakon muda, Izuan Fitri yang baru sahaja menjalani pembedahan pada bahagian otak akibat penyakit tibi.
Menurut Zahiril, dia menitipkan harapan buat warganet yang membaca perkongsiannya di Instagram, agar dapat membantu meringankan beban keluarga adik Izuan untuk menampung kos tersebut menerusi sumbangan walaupun berjumlah RM1 setiap penyumbang.
“Inilah adik Izuan yang saya sebutkan dalam live semalam. Saya ingin mengajak semua yang baca ini untuk bersama-sama membantu perbelanjaan menampung kos berkaitan dengan perubatannya.
“Tanamlah dalam fikiran dan hati, andai kata nak menyumbang sekecil-kecil yang kita mampu RM5 pun jadilah. RM5 dan RM1 itu hanyalah nilai di dunia sahaja, tetapi di sisi Allah mungkin jauh besar dari itu.
“InsyaAllah, dan yang penghalang kita daripada korban sekecil nilai ini adalah bisikan syaitan,” katanya di Instagram.
Dalam pada itu, pelakon filem Ada Hantu itu juga berkesempatan meminta orang ramai untuk memanjatkan doa buat Izuan agar diberikan kesembuhan seperti sedia kala.
“Kita doakan supaya Allah memberi kesihatan sepenuhnya kepada adik Izuan Fitri, InsyaAllah.
“Bersama-sama kita membantu meringankan beban dengan menyumbang ke akaun Maybank, 562768427214 Maryam Legacy Enterprise,” tulisnya.
Terdahulu, pelakon remaja itu telah dimasukkan di Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut akibat penyakit tibi atau batuk kering.
Awal bulan Ogos, Izuan telah menjalani pembedahan pada bahagian otak di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada 5 Ogos yang lalu, kemudian dipindahkan ke Institusi Perubatan Respiratori (IPR).