PETALING JAYA: Penyanyi bersuara emas, Fazli Zainal menzahirkan kesyukuran terhadap Ilahi kerana masih diberi kesempatan untuk bernafas dan memiliki suara lagi.
Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu popular Harapan itu memuat naik satu hantaran video ketika melakukan pemeriksaan di bahagian peti suaranya.
Menurut Fazli, dia memaklumkan perkembangan kesihatannya yang kini masih lagi dalam proses pemulihan terutama di bahagian peti suara.
“Alhamdulillah, Allah masih beri saya nafas dan suara lagi. Syukur, ini proses biasa yang akan dilakukan untuk melihat keadaan peti suara atau vocal chords kita sekiranya berlaku jangkitan dan sebagainya.
“Lepas dua minggu kita lihat apa perkembangan peti suara saya. Saya sempat berjumpa Azmi iaitu pakar telinga, hidung dan tekak berkaitan peti suara saya yang masih dalam proses penyembuhan.
“Kita tunggu lagi dua minggu ya. Doakan saya segera sembuh,” kongsinya di Instagram.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet menitipkan doa dan meniupkan semangat dari jauh buat penyanyi itu agar cekal serta diberikan kesembuhan seperti sedia kala.
Terdahulu, Fazli telah dimasukkan ke Hospital Ampang selama 29 hari akibat jangkitan virus Covid-19.
Malah, dia terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan selepas tahap oksigennya menurun.