SEKILAS pandang seakan sejambak bunga-bungaan asli berwarna-warni, tetapi ia sebenarnya kuntuman bunga yang boleh dimakan iaitu roti jala digubah bertemakan jalur gemilang berbentuk hati.
Idea kreatif dan hasil air tangan pengusaha Roti Jala Jelita KL, Noraniza Jusoh, 35, ini adalah percubaan kali pertamanya apabila melihat ramai yang membuat roti jala bersempena bulan kemerdekaan.
“Saya lihat ramai yang menjual roti jala tema bendera Malaysia. Jadi, saya pun cuba buat sekadar suka-suka pada 20 Ogos lalu.
“Atas kreativiti sendiri, saya tukar konsep kepada roti jala. Tak sangka selepas muat naik gambar di Instagram, saya dapat tempahan.
“Mungkin ramai yang tertarik kerana roti jala berbentuk hati lebih cantik dan menarik kerana seakan gubahan sejambak bunga.
“Ada juga yang sayang nak makan. Kalau diberi kepada teman atau keluarga, pasti mereka gembira dan ‘jatuh hati’,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Roti jala Love dihasilkan oleh Noraniza ini dijual pada harga RM90 termasuk kuah kari.
“Saya tiada pekerja dan hanya membuat roti jala ini seorang diri di rumah. Jadi, saya hadkan tempahan hanya dua sahaja sehari sebab ia memakan masa lebih dua jam untuk disiapkan.
“Untuk dapatkan warna seperti diinginkan, perlu membuat percubaan berkali-kali di kuali terlebih dahulu kemudian baharulah tambah atau kurangkan warnanya,” katanya.
MENJALA SEBAB ANAK
Kongsi ibu anak empat ini, sebelum mengambil keputusan untuk menerima tempahan, dia bertanya pandangan suami mengenai rasa roti jala ini.
“Saya menjual kepada jiran-jiran untuk satu pek mini roti jala berharga RM3 dan selepas itu barulah saya mengambil tempahan gubahan roti jala moden yang berwarna-warni mengikut permintaan pelanggan,” katanya.
Tambah Noraniza yang berkecimpung lebih 10 tahun sebagai assistant crew management di sebuah syarikat minyak dan gas langsung tidak menyangka boleh berniaga secara kecil-kecilan hanya dengan membuat roti jala warna yang trending.
Sekali gus mempunyai pendapatan sampingan lebih daripada gajinya semasa bekerja dahulu.
HIKMAH VSS
Ketika itu beliau yang sarat mengandung anak keempat berasa sangat terkilan dibuang kerja.
Namun pampasan skim pemisahan sukarela (VSS) yang saya terima, tidaklah menyebabkan saya terlalu tertekan.
“Saya percaya hikmah selepas dibuang kerja kerana dikurniakan rezeki yang melimpah ruah.
“Pendapatan sampingan ini melebihi daripada gaji saya ketika masih bekerja menyebabkan saya berasa puas dapat membesar anak-anak depan mata.
“Alhamdulillah, walaupun hanya membuat roti jala tapi saya mampu memperoleh pendapatan minimum RM6,000 sebulan dan berharap perniagaan diusahakan terus berjaya serta mendapat tempat di hati pelanggan,” katanya.