AMERIKA SYARIKAT: Aktres popular, Lily Collins, 32, mendedahkan dia sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang pengarah, Charlie McDowell, 38, di Dunton Hot Spring, Colorado pada Sabtu lalu.
Lily yang terkenal menerusi drama rantaian Emily In Paris berkongsi status hari bahagianya itu di akaun Instagram miliknya hari ini.
“Saya tidak pernah mahu menjadi orang lain selain diri sendiri, dan sekarang saya sudah menjadi isteri awak. Saya mencintai awak sangat-sangat,” ungkap Lily diiringi gambar mengucup bibir.
Memuat naik tiga hantaran gambar berbeza di akaunnya, pasangan merpati dua sejoli itu sebelum ini mengikat tali pertunangan setahun selepas mengenal hati budi pada September tahun lalu.
Melangsungkan majlis resepsi berkonsepkan fairytale, aktres ini meluahkan rasa gembiranya.
“Sukar untuk saya gambarkan apa yang sudah terjadi pada minggu lalu. Tapi ibarat magis, ini satu permulaan yang baik,” luahnya lagi.