KUALA LUMPUR: “Baiklah “Husyairi” akan pertimbangkan. Apa pun saya doakan awak semoga sihat selalu.”
Itu reaksi yang dikongsikan oleh penyanyi remaja meningkat naik, Kucaimars, 24, di akaun Instagram miliknya apabila dilamar oleh seorang individu yang dirahsiakan identitinya.
Menarik dalam perkongsian tersebut, penyanyi dan pengacara popular, Alif Satar turut muncul pada ruangan komen hantaran itu dengan memberikan kata dorongan.
“Rezeki ada dalam perkahwinan bro,” tulis bapa kepada tiga orang anak itu.
Namun, Kucaimars atau nama sebenarnya Amirul Husyairi Nani, mengakui dia masih belum bersedia untuk ke fasa yang lebih serius.
“Saya tidak bersedia lagi abang. Walaupun dia bagi Lamborghini,” seloroh Kucaimars membalas komen Alif.
Meninjau ruangan komen, rata-rata rakan selebriti lain termasuk peminat dan pengikutnya terhibur dengan perkongsian berkenaan dan tidak kurang juga yang menyakatnya “selamat pengantin baharu”.