MELAMBAI tangan tanda perpisahan adalah perkara yang sangat sukar untuk dilakukan. Begitulah perasaan saya apabila mengetahui siri popular yang juga kegemaran saya, Money Heist kini sudah tiba ke penamatnya.
Apatah lagi, saya turut berkongsi rasa sedih yang sama dengan jutaan peminat lain drama bersiri yang telah mencipta fenomena global ini. Selama lima siri, Money Heist berjaya menjadi antara drama yang akan kekal malar segar.
Maka peluang untuk menemu bual salah seorang daripada pelakon Money Heist tidak seharusnya saya lepaskan. Walaupun kekangan bahasa menjadikan sesi tersebut agak canggung namun itu bukan halangan.
Bersua secara virtual sudah cukup membuatkan saya rasa cukup dekat dengan drama bersiri itu. Ikuti temubual eksklusif bersama Mónica Gaztambi yang menjayakan watak Stockholm dalam drama bersiri pecah panggung Netflix!
PANCAINDERA: Pasti sedih bukan mengucapkan selamat tinggal kepada Stockholm bukan? Apatah lagi selepas lima tahun ‘berjuang’ bersama-sama pelakon lain.
Mónica: Sudah semestinya! Saya dan Stockholm seperti sudah sebati. Kami membesar bersama-sama dalam Money Heist. Saya belajar banyak sangat ilmu sepanjang perjalanan dalam drama ini.
Saya bangga menjadi salah seorang pelakon dalam drama yang mencipta fenomena tersendiri. Sedih tetapi saya berpuas hati. Dunia menerima malah mencintai Money Heist dengan sepenuh hati.
Bagaimana Stockholm mempengaruhi hidup anda? Adakah sebenarnya Monica dan Stockholm berkongsi keperibadian yang sama?
Mónica: Tidak sama sekali. Tetapi mengenali Stockholm, saya cukup berbangga dengan dia. Dia bermula sebagai seorang wanita lemah yang terperangkap dalam hubungn toksik. Mudah diperguna dan dipermainkan.
Tetapi menuju ke penamat, dia bangkit malah menjadi lebih kuat berbanding watak-watak lain. Namun boleh saya kongsikan, setiap perbuatan pasti ada balasan. Baik atau buruk, kedua-duanya.
Sukar sebenarnya menjadi Stockholm. Dia menjadi wanita yang berani mengambil risiko dan melawan. Seperti yang saya katakan tadi, saya belajar banyak perkara daripada Stockholm. Inilah bukti kuasa wanita.
Menjalani penggambaran ketika pandemik bukan sesuatu yang mudah. Boleh kongsikan cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh pelakon dan kru produksi?
Mónica: Oh sangat sukar sekali ya berlakon ketika pandemik. Kami terpaksa melalui pelbagai prosedur dan banyak ‘Do and Don’ts’ sepanjang penggambaran. Kami perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.
Tahukah anda kami hanya boleh berjumpa rakan pelakon dan kru ketika babak tertentu sahaja. Tidak boleh berbual, berpelukan malah makan juga sendiri. Tidak boleh ada sebarang pertemuan secara rahsia.
Tetapi saya bangga dengan produksi Money Heist yang berjaya menamatkan penggambaran dengan pelbagai cabaran dan halangan. Mereka sangat bertanggungjawab dan peka dengan keadaan sekeliling.
Money Heist musim terakhir ini seolah-olah mengangkat kuasa wanita dalam menerajui sesebuah gerakan. Bagaikan sekumpulan wanita memperjuangkan hak mereka untuk kebebasan dan kebenaran.
Mónica: Dalam siri ini, watak lelaki dan wanita sama rata. Tiada yang lebih kuat atau lemah. Biarpun ada beberapa watak yang sengaja menonjolkan kelemahan namun akhirnya mereka bangkit dan melawan.
Malah, watak wanita dalam Money Heist juga melakukan pelbagai aksi ketika berdepan situasi getir terutama semasa rempuhan pihak berkuasa. Kuasa wanita sememangnya dipamerkan dengan cemerlang.
Semua tahu, Money Heist mencipta fenomena global tersendiri. Bagaimana anda berdepan dengan keterujaan, jangkaan dan kehendak peminat?
Mónica: Saya tidak mahu tertalu memikirkan jangkaan peminat terhadap drama bersiri ini. Saya meletakkan fokus tinggi dalam menjayakan watak Stockholm. Segala emosi dan jiwa diberikan.
Saya percaya, itu mampu membuatkan peminat setia dan berpuas hati menunggu siri terakhir ini. Mesti ada yang akan tidak suka tetapi saya mengharapkan semua menikmati Money Heist: Part 5 ini dengan sebaiknya.