Kolam bakat independen - Utusan Malaysia

Kolam bakat independen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDIE bukan hanya ada di Malaysia. Di mana-mana negara pun, ada pemuzik yang bergerak secara independen dan membawakan muzik yang kurang diterima di arus perdana.

Jika anda suka meneroka, segmen muzik inilah yang perlu diperhati. Kita kenal K-Pop dan gelombang muziknya yang membadai dunia tetapi kita juga perlu tahu, di Korea Selatan ada sahaja pemuzik yang membawakan muzik jazz, eksperimental mahupun metal.

Saya belum lagi mula meneroka muzik independen dari negara-negara lain. Setakat ini, penerokaan saya terbatas kepada Malaysia dan paling jauh pun, Indonesia. Namun, minggu lepas, ada rakan yang mencadangkan saya mendengar muzik independen dari Korea Selatan. Satu nama yang disebut, Mid-Air Thief. Saya sudah cuba dengar dan saya kagum dengan muziknya.

Vans Musicians Wanted

Jika anda rasa sukar dan tidak tahu punca untuk mula meneroka muzik independen negara luar, anda boleh mulakan dengan mengikuti pertandingan Vans Musicians Wanted (VMW).

Sejak 2015, VMW menjadi pentas yang mempertemukan bakat-bakat baharu dan tersembunyi dari Asia Pasifik dan seterusnya dunia. Bakat-bakat yang ditampilkan sentiasa dapat membuka mata peminat muzik tentang kepelbagaian dan keunikan muzik.

Walaupun diserang pandemik, VMW tetap diteruskan. Bermula tahun lalu, pertandingan itu menyerap sepenuhnya konsep digital. Malaysia antara negara yang sering menghantar penyertaan.

Tahun ini, pertandingan itu di peringkat rantau baru sahaja melabuhkan tirainya. Rantau Asia Pasifik, Eropah dan Amerika masing-masing sudah punya pemenang yang akan berentap sesama sendiri dalam peringkat akhir pada Januari nanti.

Walaupun tidak berjaya ke peringkat akhir, wakil Malaysia pada tahun ini tidak mengecewakan. Penyanyi wanita dari Sarawak, Nathanie berjaya memukau juri dengan persembahan minimalisnya. Hanya lima mata memisahkan dia dengan juara Asia Pasifik, Q The Trumpet dari Korea Selatan.

Bakat sejagat

Nathanie adalah antara bakat tempatan yang punya potensi untuk berjaya di peringkat antarabangsa. Peluang untuknya di peringkat domestik mungkin agak terhad kerana muzik pop bedroom yang dibawa sukar diterima peminat muzik tempatan secara massa yang masih terikat dengan bunyian pop balada dan muzik nostalgia.

Nathanie mempunyai potensi besar sebagai penyanyi-pencipta. Selain karakternya yang tersendiri, gubahan lagu-lagu Nathanie dekat dengan kehidupan generasi Z. Yang membezakan penyanyi berusia 21 tahun itu dengan Q The Trumpet mungkin kemampuan teknikal, versatiliti dan kualiti rakaman (pertandingan melibatkan persembahan prarakam pastinya mengambil kira kualiti adunan dan adunan rapi).

Namun, tanggungjawab membawa nama Malaysia itu sudah digalas dengan baik oleh Nathanie dengan menduduki tempat kedua daripada lima peserta akhir Asia Pasifik. Dengan persembahan minimal, dia berjaya menewaskan kugiran rock progresif Indonesia, Kinder Bloomen; penyanyi-rapper Australia, Squid The Kid dan duo pop Singapura, Yishun Panik.

Cerminan arus perdana

Rakan yang memperkenalkan saya kepada Mid-Air Thief memberikan satu teori. Katanya, muzik independen itu cerminan arus perdana. Jika muzik independen di sesebuah negara itu bagus, arus perdananya pun akan menyerlah kerana arus perdana sentiasa tertekan untuk meningkatkan kualiti. Muzik independen – yang secara asasnya terpinggir dan tersisih oleh sistem dalam industri muzik – berperanan mencabar hegemoni muzik arus perdana.

“Sampah indie sampahlah mainstream sebab depa tak tercabar langsung dan tak ada permintaan untuk sesuatu yang awesome. Taikun-taikun muzik pun terus mass produce lagu-lagu bengap.

“Patutlah K-Pop sentiasa naikkan game depa, dekat belakang ada barang indie tunggu masa nak cantas,” katanya.

Vans sebagai jenama besar telah memainkan peranannya membuka jalan untuk bakat independen dan terpinggir melangkah lebih jauh dalam kerjaya muzik mereka. Tinggal bakat-bakat independen negara kita pula untuk tingkatkan kualiti supaya dapat mencabar bakat arus perdana, seterusnya melonjakkan kualiti muzik tempatan secara keseluruhannya.

Ia juga tidak akan berhasil jika permintaan pendengar masih pada takuk lama. Peminat muzik Malaysia perlu lebih selektif dan kritis. Tidak perlu apologetik dengan bakat-bakat yang sudah diberi ruang tetapi tidak mahu tingkatkan kualiti. Makin keras penilaian kita, makin berkualitilah muzik yang mendapat tempat dalam negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya