KUALA LUMPUR : Sutradara dan pelakon popular negara, Syamsul Yusof, 37, akur dengan keadaan semasa yang menyaksikan negara belum sepenuhnya pulih daripada penularan wabak Covid-19 yang menjadi punca penangguhan penggambaran filem KL Gangster 3 The Finale.
Bahkan kata Syamsul, penutupan sektor perfileman dan penggambaran pada waktu yang sangat lama ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga telah menyebabkan dirinya juga terkesan.
“Penggiat filem dilanda banyak halangan kerana masalah Covid-19. Termasuklah saya sebagai pengarah dan penerbit.
“Isunya, panggung wayang semakin berkurang di seluruh negara, apatah lagi jumlah penonton yang dibenarkan masuk adalah terhad.
“Ada banyak panggung wayang yang ditutup. Tak apa, saya reda kerana banyak lagi sektor lain yang juga terjejas,”katanya dalam satu hantaran di Instagram semalam.
Bagaimanapun, menurut anak penerbit dan pelakon bertaraf legenda, Datuk Yusof Haslam ini lagi, keadaan itu tidak dijadikan sebagai satu pemutus semangat untuk dirinya bangkit meneruskan hasrat tersebut.
“Ini semua takkan menjatuhkan semangat saya untuk hasilkan filem KL Gangster 3 The Finale.
“Kepada peminat, kita santai dulu sampai keadaan negara betul-betul pulih. InsyaAllah, masanya akan sampai. Jika Allah SWT izin, kita akan mulakan penggambaran,”katanya.
Perkongsian tersebut telah disambut dengan penuh semangat oleh rakan-rakan artis yang mengikuti akaun Syamsul termasuk Zizan Razak dan Adam Corie termasuk peminat-peminat karya Syamsul yang setia menyokong selama ini.
Selain Zizan dan Adam Corie, filem KL Gangster 3 The Finale bakal membariskan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Aaron Aziz, Soffi Jikan dan Datuk Rosyam Nor.
Sebelum ini, Syamsul pernah memberi bayangan bahawa filem tersebut akan menemui penonton dan peminatnya pada tahun 2022.
Terdahulu, filem “KL Gangster” dan “KL Gangster 2” terbitan Skop Productions berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton hinggakan kutipannya mencecah RM11.74 juta dan RM4.96 juta.