PETALING JAYA: Pelakon, Zul Ariffin mengumumkan penarikan diri daripada semua pencalonan Anugerah Bintang Popular ke-34 (ABP34) tahun ini.
Zul atau nama sebenar Zulkifli Ariffin membuat pengumuman itu menerusi Instagramnya baru-baru ini.
“Kepada semua peminat-peminat yang sentiasa menyokong kerjaya saya, Alhamdulillah.
“Di sini, saya nak beritahu dan umumkan yang saya sudah tarik diri daripada semua pencalonan #ABPH34.
“Kepada semua calon, saya mendoakan semua yang terbaik, dan kepada semua peminat yang saya sayangi, berehatlah,” tulisnya.
Pelakon filem J Revolusi ini bagaimanapun tidak mendedahkan sebab penarikan dirinya daripada bertanding di dalam penganugerahan tersebut.
Pelakon tampan ini pernah mengungguli Anugerah Pelakon Filem Lelaki Popular pada ABPH ke-30 lima tahun lalu.