Menerima khabar kematian ahli keluarga tersayang sesuatu yang sangat sukar dilalui setiap orang. Apatah lagi apabila ia melibatkan kematian akibat jangkitan Covid-19 yang melanda ketika ini.
Apa yang memilukan bagi waris, jenazah ahli keluarga sama ada ibu mahupun bapa waima adik-beradik mereka sendiri pun tidak dapat diuruskan dengan tangan sendiri. Sebaliknya, ia perlu dilaksanakan dengan kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Mengambil kira halangan yang dihadapi oleh waris si mati itu termasuk berkemungkinan perlu menjalani kuarantin di rumah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHeAINS) menerusi Skuad Tajhiz mengambil tanggungjawab menguruskan jenazah berisiko Covid-19 di negeri ini.
Ia termasuklah dalam hal tayamum, mengkafankan, solat jenazah sehingga ke urusan pengkebumian.
Menyedari waris tidak dapat hadir menyaksikan urusan pengkebumian ahli keluarga mereka, JHeAINS mengambil inisiatif dengan menyediakan video pengkebumian yang boleh ditonton di media sosial sama ada secara langsung mahupun rakaman.
Pengarah JHeAINS, Datuk Mohd. Zaidi Ramli berkata, inisiatif menyediakan video secara langsung detik pengebumian jenazah itu sebagai salah satu kaedah untuk menyantuni waris serta tanda ihsan pihak jabatan kepada waris yang sedang dalam kesedihan.
“Ia adalah inisiatif kami untuk redakan tekanan dan perasaan waris, sebab itu kami buat secara langsung.
“Pertama kami buat, ramai yang menonton. Rupa-rupanya memang masyarakat berharap dapat tengok.
“Ada yang kami buat secara langsung di Facebook mahupun YouTube, ada juga yang kami rakamkan. Ini membantu waris, sedikit sebanyak sebagai kenangan kepada mereka, walaupun tidak dapat bersama, mereka dapat lihat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
VIDEO SERAMPANG DUA MATA
Ujar Mohd. Zaidi, selain bagi meredakan tekanan yang dihadapi oleh waris, keputusan menyiarkan video secara langsung urusan pengkebumian jenazah juga adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.
“Ia sebagai serampang dua mata. Kami juga mahu beri gambaran kepada masyarakat awam bagaimana kami menjalankan tuntutan fardu kifayah dalam keadaan yang amat berbeza. Ia tidak sama dengan kematian biasa.
“Sebenarnya ia amat menyayat hati. Kami yang menguruskan jenazah juga sangat tersentuh. Kami mahu tunjukkan juga kepada masyarakat dan memberikan kesedaran bahawa Covid-19 itu benar dan kematian akibat Covid-19 juga adalah benar,” katanya.
Menurut Mohd. Zaidi lagi, bagi memberikan penyiaran video secara langsung yang baik untuk ditonton oleh waris, pegawai dan kakitangan terlibat dilatih dengan sebaik mungkin.
“Sebelum ini, JHeAINS memang sudah menyediakan kumpulan dakwah siber, mereka ini yang banyak menyediakan kandungan dakwah di dalam media sosial.
“Mereka mempunyai pengalaman dalam kemahiran tersebut malah kami juga telah menyediakan peralatan yang bersesuaian seperti kamera termasuk dron bagi rakaman video daripada pandangan atas.
“Rupa-rupanya kami dapat manfaatkan juga peralatan-peralatan tersebut bagi membantu waris si mati,” katanya lagi.
Tambah beliau, selain menguruskan pengkebumian jenazah dan merakamkan proses berkenaan, JHeAINS turut mengambil beberapa inisiatif lain bagi menyantuni waris si mati.
“JHeAINS melalui masjid negeri juga melaksanakan majlis tahlil secara dalam talian untuk arwah yang diadakan secara mingguan pada setiap malam Jumaat.
“Kami turut menghantar kad ucapan takziah kepada pihak waris selain menyantuni mereka melalui program pintu ke pintu dengan menyampaikan barang bantuan asas,” jelas.
Sementara itu, menurut Mohd. Zaidi, sejak ditubuhkan pada Mac 2020, skuad Tajhiz itu telah menguruskan 832 jenazah umat Islam yang berisiko Covid-19 sehingga 13 September lalu.
Ujar beliau, pada 2020 hanya 12 jenazah yang diuruskan oleh pasukan berkenaan namun ia meningkat kepada 832 jenazah pada tahun ini dengan pada bulan Julai lalu sahaja lebih 300 jenazah diuruskan.
“Jika boleh disebut antara cabaran yang perlu dihadapi ialah jenazah itu kita tidak tahu bila dan berapa jumlah yang perlu diuruskan. Bulan Julai lalu sahaja, tidak kurang daripada 10 jenazah, kadang-kadang mencapai 18 jenazah diuruskan satu hari.
“Kadangkala ada kumpulan kena uruskan lapan jenazah dalam keadaan memakai pakaian perlindungan diri (PPE), dalam hujan dan di bawah terik matahari.
“Jenazah Covid-19 tidak boleh tunggu lama, apabila keluar dari unit forensik kita terus kebumikan. Kalau jenazah itu keluar pukul dua pagi, dua pagi jugalah kami usaha untuk dikebumikan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berterima kasih terhadap komitmen yang diberikan oleh anak buahnya yang tidak patah semangat dalam menjalankan fardu kifayah tersebut.
“Mereka juga dalam keadaan tertekan, kami selalu beri motivasi kepada petugas-petugas ini dan ingatkan supaya mereka niat bertugas kerana Allah SWT. Saya rasa kalau tiada motivasi itu, susah juga nak teruskan dalam urusan ini.
“Saya juga berterima kasih kepada semua ahli keluarga kakitangan yang bertugas, si isteri yang setia di rumah menunggu suami, saya minta mereka doakan suami masing-masing supaya dapat bertugas dengan baik,” katanya lagi.