PETALING JAYA: Penyanyi legenda, Datuk Hattan mengingatkan kepada orang ramai agar menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan tidak membuang sampah-sampah merata-rata ketika bercuti bersama keluarga.
Hattan, 56, kesal dengan tindakan segelintir individu yang sewenang-wenangnya mengotorkan pusat pelancongan menegaskan tindakan tidak bermoral itu hanya akan membawa kesan buruk kepada masyarakat.
“Jaga SOP, jangan disepah-sepahkan sampah itu. Selepas makan jangan diselerak dan ditinggal-tinggalkan macam itu.
“Nanti tikus datang balik. Esok kita datang balik, dah kena kencing tikus. Siapa nak menghadap benda macam itu.
“Kena jadi seorang yang bertanggungjawab,” katanya di Instagram.
Baru-baru ini tular beberapa rakaman video dan foto kawasan rekreasi yang sesak dengan penunjung.
Lebih mendukacitakan, bukan sahaja tidak menjaga SOP, malah pengunjung turut mengotorkan tempat berkenaan dan membuang sampah merata-rata.
Dalam pada itu, Hattan juga mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang mudah membawa anak-anak pergi bercuti namun lantang menolak pembukaan sekolah.
“Lagi satu pergi bercuti boleh, pergi sekolah mengadu pula. Pergi bercuti ramai-ramai bawa anak boleh. Macam mana itu?” ujarnya.