PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi terkenal, Janna Nick tampil menyelar semula komen seorang individu yang mendakwa dirinya mempunyai penyakit mental menerusi komen di entri Instagram miliknya.
Menerusi Instastory, Janna memuat naik satu tangkap layar yang memaparkan komen salah seorang pengguna Instagram itu mengenai hal tersebut sekaligus tampil memberi reaksi.
“Kenyataan sekarang, jadi artis sahaja tidak boleh cakap perkara yang salah. Jadi netizen semua perkara lah boleh cakap.
“Semua perkaralah boleh ulas. Kita ini tidak perlu ada perasaan. Yelah, dah jadi pempengaruh kan, terima sahajalah apa kritikan orang’,” tulisnya di Instastory.
Menerusi Instastory yang berbeza, pelakon drama Marry Me Senorita itu juga menerima beberapa pendapat dari pengikutnya menerusi sesi soal jawab mengenai kesedaran rakyat Malaysia yang masih kurang mengenai kesihatan mental.
Sehubungan itu, Janna turut memberikan reaksi terhadap soalan diterimanya itu.
“Sebab itu aku beritahu kepada umum, aku ini ada Bipolar. Bukan sebab nak perhatian kamu semua, tetapi sebab ingin memberitahu.
“Orang yang nampak gembira dan gelak-gelak pun boleh ada penyakit mental. Bukan orang pakai baju compang camping sahaja mental.
“Penyakit mental tidak semestinya ‘gila’,” jelasnya di Instastory.
Terdahulu, Janna pernah berkongsi dirinya mengalami masalah gangguan Bipolar yang dihadapi serta sekaligus berkongsi tahap kesihatannya.