PETALING JAYA: Pelakon dan pempengaruh sensasi, Aisar Khaled kali ini menerima pujian warganet selepas mengambil inisiatif mengislamkan seorang lelaki berbangsa India, menerusi kandungan media sosial terbaharunya.
Menerusi entri Instagram, figura tinggi lampai itu memuat naik satu video yang memaparkan dia sedang mencerita keindahan Islam lalu mengajar lelaki berkenaan mengucap dua kalimah syahadah untuk memeluk Islam.
Menurut Aisar, dia mendedahkan individu itu yang katanya dihimpit pelbagai masalah sehingga membuatkan dirinya tersentuh.
“Seorang India masuk Islam. Saya terjumpa seorang abang ini, dia sangat sedih dengan kehidupan dia yang banyak masalah.
“Seterusnya, saya bercerita tentang kebesaran Allah dan apa sebenarnya yang kita perlu buat di dalam dunia ini.
“MasyaAllah, Allah menjentik hatinya untuk menerima agama Islam. Sungguh nikmat kebesaran Allah,” kongsinya di Instagram.
Sehubungan itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, video yang dikongsinya itu telah mencuri perhatian warganet dan rakan selebriti atas tindakan murninya.
“MasyaAllah, saudara baharu, Allah menghantar Aisar untuk beri dia Islam. Subhanallah.
“Allahuakbar, Aisar betul-betul rezeki awak dapat mengislamkan hamba Allah, inilah sepatutnya dicontohi oleh anak muda sekarang.
“MasyaAllah, semoga perjalanan abang Aisar dipermudahkan dan dimewahkan rezeki ya,” coret pengikutnya menerusi ruangan komen tersebut.