Dari ejen susu kambing, Muhammad Bukhari kini tauke projek kambing tenusu - Utusan Malaysia

Dari ejen susu kambing, Muhammad Bukhari kini tauke projek kambing tenusu

Muhammad Bukhari Mohd. Rashid bersama kambing tenusu di kandangnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula sebagai ejen menjual susu kambing secara sambilan lebih lima tahun yang lalu, siapa sangka pemuda ini kini mampu menjual produk susu kambing miliknya sendiri.

Lebih membanggakan, Muhammad Bukhari Mohd. Rashid, 28, juga mampu menguruskan ladang ternakan kambing tenusu di atas tanah seluas lebih satu ekar milik arwah bapanya di Kampung Tun Sardon, Bukit Mertajam, Pulau Pinang ketika ini.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, minatnya terhadap haiwan ternakan berputik sejak kecil. Namun, impian itu terbantut kerana bapanya tidak begitu yakin akan keupayaan Muhammad Bukhari menjaga haiwan-haiwan berkenaan.

Justeru dia hanya memendamkan keinginan tersebut.

Kata Muhammad Bukhari, seusai tamat pengajian di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang, Selangor dan mula melangkah ke alam pekerjaan, minat yang sekian lamanya dipendamnya itu datang semula.

Memberi makan dan membersihkan kandang jadi antara rutin harian Muhammad Bukhari.

Untuk itu katanya, dia memulakan langkah pertama dengan menjual susu kambing secara sambilan sebagai seorang ejen.

Lulusan Diploma Kawalan Numerikal Komputer (CNC) itu berkata, kambing pertamanya dibeli dengan wang simpanan hasil jualan susu kambing sebelum ini selain ditambah sedikit modal yang disumbangkan oleh abang pada Disember 2016.

“Kami membeli tiga ekor kambing tenusu baka Saanen dan membina kandang kecil tidak jauh dari rumah di Kepala Batas dengan modal permulaan secara keseluruhannya RM10,000,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Muhammad Bukhari kemudian mula berjimat-cermat dan menyimpan sebahagian gaji setiap bulan untuk membeli lebih banyak kambing dan membuat kandang yang lebih elok.

Sehinggalah apabila jumlah kambing tenusunya mencecah 20 ekor, pemuda berwawasan itu akhirnya nekad berhenti kerja dan menjadi penternak kambing sepenuh masa.

Ketika ini, Muhammad Bukhari memiliki kira-kira 60 kambing tenusu daripada pelbagai baka termasuk Saanen, British Alpine dan Toggenburg selain menggaji dua pekerja yang membantunya menguruskan ladang ternakan tersebut.

Selain susu segar, pemilik syarikat Rasna Bukhari Enterprise itu turut memproses beberapa produk lain seperti dadih, keju dan kefir atau yogurt.

Dalam masa yang sama, penerima Geran Agropreneur Muda (GAM) daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berjumlah RM20,000 pada 2019 ini turut mengusahakan tiga jenis tanaman rumput.

Ia adalah jenis Napier Dwarf, Napier Taiwan dan Napier Pak Choy untuk dikomersialkan selain dijadikan makanan untuk kambing-kambingnya.

“Bagaimanapun, sejak pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tahun lepas, saya terpaksa menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam mempelbagaikan produk saya.

“Ketika itu juga timbul idea untuk lebih mengkomersialkan baja organik daripada tahi kambing yang saya jual secara kecil-kecilan sebelum ini. Tanpa disedari, penjualan baja-baja itulah sebenarnya yang membantu saya mengalami kerugian yang besar,” katanya.

Menurut beliau, baja pelbagai guna jenama RasnAgro yang mendapat permintaan menggalakkan itu dijual RM15 sekilogram dan boleh juga dibeli menerusi laman e-dagang seperti Lazada dan Shopee.

Fokus hasilkan baja berkualiti
Seperti usahawan lain yang sentiasa merencana impian masa hadapan mereka, Muhammad Bukhari Mohd. Rashid juga tidak terkecuali.

Katanya, dia sedang menjalankan kajian dan penyelidikan sendiri untuk menghasilkan baja organik yang lebih bersifat spesifik sama ada untuk sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya agar ia lebih berkualiti.

“Sekarang, baja yang saya hasilkan adalah untuk kegunaan am. Mungkin lepas ini baja untuk pokok durian musang akan saya khususkan untuk pokok musang sahaja sebagai contoh,” ujarnya.

Pada masa yang sama katanya, Rasna Bukhari Enterprise juga akan melebarkan sayap perniagaan mereka dengan menceburi bidang kosmetik atau kecantikan berasaskan susu kambing.

Muhammad Bukhari berkata, antara produk tersebut termasuk sabun susu kambing, scrub mandian serta beberapa produk lain yang dihasilkan daripada ekstrak susu berkenaan.

Menurutnya, impian tersebut bagaimanapun hanya dapat direalisasikan menjelang 2025 selepas kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) selesai.

Ini memandangkan produk tersebut perlu melalui penilaian yang agak ketat bagi mengetahui sejauh mana kesannya terhadap kulit manusia dan sebagainya.

Jelas Muhammad Bukhari, dia juga ada membuka perniagaan kambing golek yang diusahakan bersama seorang rakan sebelum ini.

“Kami biasanya menerima tempahan ketika berlangsung satu-satu majlis seperti jamuan, kenduri akikah dan lain-lain.

“Bagaimanapun, disebabkan PKP ini, perniagaan tersebut tergendala buat sementara waktu,” katanya.

Beliau juga berhasrat mempelbagaikan lagi produk keluaran syarikatnya pada masa depan selain memastikan pengeluaran susu kambing miliknya terus dipertingkatkan seiring dengan kualiti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya