PETALING JAYA: Usahawan dan penyanyi rap terkenal, Caprice memohon agar segelintir pihak menghentikan segala jenis ugutan dan ancaman terhadap dirinya di platform media sosial.
Menurut Caprice, lebih daripada 50 laporan polis perlu dibuat selepas tamat kuarantin esok, yang membabitkan keselamatan dirinya.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM), saya keluar esok. Minggu ini ada lebih 50 laporan polis perlu dibuat. Pentaksub ikut agamawan, tetapi perangai syaitan macam mana itu.
“Cukuplah dengan ancaman, ini bukan gurauan. Kalau betul-betul tidak puas hati dan nak sangat tunjuk belang, buat sahaja kerja. Kami sentiasa bersedia,” katanya di Instastory.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Xde Hal Bro itu menegaskan ancaman yang diterimanya sebegini bukan perkara gurauan dan dibuat main.
“Mungkin untuk segelintir orang, ugutan bunuh, cabar jangan masuk Penang, Pahang atau nak tunggu depan pejabat, perkara lawak. Tidak, ia bukan lucu. Ini dibuat oleh pengguna akaun sebenar.
“Mungkin kalau kamu semua atau keluarga dapat satu ugutan, pasti akan maraha juga. Sejak orang itu fitnah kita sampai satu Malaysia kecoh, hari-hari Caprice terima ugutan. Tunggu, tidak lama lagi ini.
“Apabila kebenaran sudah keluar, saya harap anda semua mengatur Google Map atau Waze untuk cari kita di Padang Masyar nanti. Kerana, di dunia, yang berani ugut, kita ada undang-undang,” tulisnya lagi.
Sebelum ini, Caprice mendedahkan telah menerima lebih 60 kes ugutan bunuh daripada individu yang tidak dikenalinya.