JAKARTA: Aktres Indonesia, Ussy Sulistiawaty menarik nafas lega setelah berjaya mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Menurut portal Liputan6, pelakon drama Setulus Kasih Ibu ini menerusi Instagramnya mengakui dirinya sedikit cemas sebelum mendapatkan suntikan tersebut.
Lebih melucukan, dia sempat cuba melarikan diri sebelum disuntik kerana terlalu takut dengan jarum suntikan.
“Alhamdulillah, akhirnya. Setelah berfikir cukup lama, mengumpulkan keberanian, kerana awalnya saya termasuk orang yang takut divaksin.
“Sampai semua yang berada di rumah sudah selesai divaksin, keluarga juga sudah vaksin, akhirnya giliran saya yang disuntik vaksin,” katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya mata ini turut mengambil kesempatan mengajak masyarakat agar segera mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk memutuskan penularan wabak tersebut.
“Jadi, yang belum divaksin segera dapatkan. Sihat ya semua,” katanya lagi.